ANALISIS
PENULIS bersetuju 100 peratus kenyataan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bahawa tiada kestabilan politik hanya akan menjauhkan pelabur asing daripada bertapak di negara ini, sekali gus menyukarkan Kerajaan Perpaduan untuk menyuburkan kembali ekonomi negara.
Penulis juga sokong apabila Fadillah berkata, pihak yang ingin memecahbelahkan kerajaan sedia ada sepatutnya berhenti daripada berbuat demikian, dan lebih menumpukan politik berasas pembangunan.
“Kalau kita nak berbahas dan berpolitik pastikan berpolitik berasaskan kepada pembangunan. Berikan keutamaan kepada kepentingan negara dan wujudkan kestabilan sama-sama beri pandangan yang konstruktif bagaimana kita dapat pulihkan ekonomi negara kita,” katanya.
Benar kestabilan politik menjadi faktor paling penting untuk membangunkan negara, atas sebab itulah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen menyerahkan kepada rakyat 5 tahun sekali untuk menentukan siapa kerajaan yang mereka mahukan. Mereka sentiasa diberi dua pilihan memilih parti pembangkang untuk menjadi kerajaan atau mengekalkan parti memerintah sedia ada.
Sama ada kestabilan politik boleh wujud atau tidak, ia bergantung kepada bagaimana sesebuah parti atau gabungan itu menerima keputusan. Kestabilan politik tidak akan wujud jika gabungan yang menang dilihat atau dianggap menjadikan kuasa diperolehi untuk membalas dendam. Kestabilan politik juga tidak mungkin tercapai kalau yang kalah merasakan mereka ditekan oleh si pemenang.
Atas sebab itulah kalau benar mahu mencapai kestabilan politik seperti mana diharapkan Fadillah, gabungan yang menjadi kerajaan mesti bijak mengendalikan kuasa dimiliki. Dan mereka juga perlu mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh mewujudkan persepsi bahawa parti pembangkang ditindas.
Penulis percaya Fadillah ikhlas apabila bercakap soal kestabilan politik kerana parti di Sarawak sudah rimas melihat apa yang berlaku di Semenanjung sejak selepas PRU 14 dan PRU-15.
Elemen paling penting ialah kedua-dua pihak redha dengan apa yang ditetapkan maknanya parti memerintah laksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan dengan adil manakala pembangkang jalankan tugas ‘check and balance’ dengan sebaiknya-baiknya.
Tetapi apa yang berlaku sekarang orang melihat pembangkang bagaikan ditindas! Mungkin ia sekadar persepsi tetapi satu demi satu peristiwa dan tindakan mewujudkan persepsi tersebut. Penulis tidak mahu sentuh soal mahkamah tetapi tertanya-tanya kenapa susah sangat mahu beri peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang.
Kalau Fadillah mahu parti pembangkang “berbahas dan berpolitik pastikan berpolitik berasaskan kepada pembangunan” – maka pastikan peruntukan kepada pembangkang diberi tanpa banyak karenah mahupun muslihat politik.
Dulu ketika menjadi pembangkang bagai ‘rak’, parti yang menjadi kerajaan sekarang desak supaya pembangkang diberikan peruntukan sama adil. Tetapi kenapa selepas jadi kerajaan sanggup ‘ulangi kesilapan’ yang sama.
Justeru hasrat mahu kestabilan politik bukan sekadar retorik apatah lagi hipokrit tapi keikhlasan. Kalau sudah menjadi kerajaan tanggungjawab bukan sahaja membantu rakyat yang menyokong parti kerajaan tetapi juga penyokong pembangkang kerana itulah semangat demokrasi.
Selagi semangat itu diabaikan sehingga hendak membantu mangsa banjir di negeri pembangkang pun keberatan sudah pasti impian mahu mencapai kestabilan politik hanya sekadar satu mimpi.

