Tahukah anda, Johor antara negeri yang paling banyak dilaporkan tentang penampakan UFO. Biasanya, ia hanya tertumpu di zon Johor Bahru serta kawasan di sebelah pantai baratnya sahaja.
Mengapakah di kawasan timurnya yang menghadap Laut China Selatan hampir tiada kelihatan kelibat UFO dilaporkan? Adakah UFO hanya berminat dengan sesuatu kawasan sahaja dan tidak menghiraukan kawasan yang lain?
Sebenarnya, UFO boleh muncul di semua lokasi. Tetapi ada batasan semula jadi yang mengehadkan kemunculan mereka. Antaranya, terikat dengan masa dan ruang yang terhad. Masa dan ruang ini tertakluk kepada sumber atau punca UFO dapat masuk ke alam ini. Puncanya boleh disebut dalam pelbagai versi. Ada pihak yang kata Stargate. Ada pula yang memanggilnya sebagai ‘portal’ atau ‘pintu langit.
Kemunculan UFO pertama yang mendapat liputan di akhbar adalah insiden sebuah objek terbang yang aneh di ruang udara Batu Pahat pada 3 September 1952. Kemunculan objek ini pada siang hari di langit yang biru telah menarik perhatian ramai orang.
UFO terbabit dikatakan berwarna putih serta berbentuk seperti piring. Bentuknya bukan seperti pesawat biasa kerana tidak terdapat sebarang sayap ataupun ekor. Menambahkan lagi misterinya, ia terbang tanpa sebarang bunyi. Objek yang tidak dikenali itu bergerak menghala ke arah barat. Dalam erti kata lain, ia menghala ke arah Sumatera, Indonesia.

Hampir 17 tahun kemudian, sebuah UFO dilaporkan lagi dilihat di ruang udara Johor yang telah menarik perhatian penduduk tempatan. Dianggarkan terdapat kemunculan UFO lain di antara tahun 1952 hingga 1969 tetapi tidak dilaporkan. Ini adalah kerana kepekaan umum kepada fenomena UFO pada waktu itu masih lagi berada di tahap yang rendah.
Insiden pada 2 Julai 1969 telah menarik perhatian ramai pelajar di Sekolah Dato Jaafar kerana objek terbang yang muncul rendah di udara Johor Bahru pada 10.25 pagi itu telah mengeluarkan satu bunyi bernada tinggi.
UFO biasanya adalah 99 peratus berciri senyap. Sistem penerbangannya tidak mengeluarkan sebarang bunyi jika dibandingkan dengan enjin pesawat komersial atau tentera.
Insiden penemuan makhluk asing pertama yang dilaporkan di negeri Johor adalah yang terjadi di Johor Bahru pada 2 Julai 1969. Pada jam 10.25 pagi, sebuah UFO bersaiz kecil dikatakan telah berlegar-legar rendah di kawasan Sekolah Rendah Temenggong Abdul Rahman sebelum ia mendarat.
Kemunculannya telah menarik perhatian ramai pelajar sekolah tersebut. Saksi melaporkan bahawa sebaik saja pesawat yang bersaiz sebesar penutup tempayan itu mendarat, terdapat 5 lembaga sekecil tujuh inci tinggi yang keluar darinya. Makhluk tersebut dilihat memakai unifom berwarna kemerahan.
Sebaik sahaja pelajar sekolah menyerbu untuk menangkap makhluk aneh itu, makhluk itu segera berlari masuk ke dalam sebuah lubang berdekatan. UFO itu tiba-tiba dikatakan ghaib.
Pada 29 Mei 1988 seorang pelajar berumur 17 tahun, Khoo Lee Yen sedang menonton televisyen dengan keluarganya pada pukul 9:30 malam bila dia terpandang ke arah tingkap rumahnya lalu nampak satu cahaya yang luar biasa. Cahaya tersebut dikatakan berbentuk bulat serta badannya berputar.
Khoo segera memaklumkan kepada ahli keluarganya dan mereka semua dapat melihat UFO terbabit bergerak semakin rendah sambil menyinari kawasan sekeliling. Objek yang bersaiz besar itu kemudian hilang dilindungi pokok-pokok. Akan tetapi beberapa minit kemudian ia naik semula ke langit. Semua saksi melihat cahaya tersebut naik turun sebanyak tiga kali dan selepas 5 minit, ia terus naik ke langit dan menghilangkan diri.

Beberapa tahun kemudian di bulan Januari 1991, dekat Pontian, sebuah lagi UFO yang bersaiz sebesar padang bola tampar telah mendarat di satu kawasan lapang berhampiran sebuah kampung di situ. Ramai penduduk setempat yang melihat objek bercahaya terang berbentuk seperti piring itu.
UFO itu hanya berada di atas tanah untuk beberapa ketika sahaja kerana ia segera naik semula ke langit apabila penduduk kampung mula mendekatinya untuk melihat dengan lebih dekat lagi.
Di Pontian juga ada sebuah kampung yang diberi nama Seri Bunian. Kampung ini dibuka pada 1924 dan terletak 8 kilometer dari bandar Pontian. Sewaktu peneroka membersihkan kawasan itu, menurut ceritanya, mereka telah terserempak dengan makhluk ganjil. Mereka menyangka bahawa mereka telah melihat Orang Bunian. Maka kampung tersebut telah dikenali sebagai Seri Bunian.
Kita perlu ingat bahawa Orang Bunian tidak menunjukkan diri mereka kepada orang yang ramai. Mereka biasanya memilih hanya yang berseorangan. Makhluk ganjil yang menunjukkan diri pada sekelompok orang ramai boleh dikategorikan sebagai makhluk asing.
Daerah Pontian adalah salah sebuah kawasan hangat dengan kisah kemunculan UFO. Jadi pada tahun 1924 di mana istilah UFO dan makhluk asing belum dikenali lagi, kemunculan makhluk yang dikatakan Orang Bunian oleh penduduk setempat itu boleh jadi adalah makhluk asing.
Johor sekali lagi mendapat perhatian UFO bila ia dilaporkan muncul di Felda Moakil di Labis. Pada 12 Januari 1996 pada jam 8.25 malam, sekumpulan saksi yang sedang menghadiri sebuah majlis perkahwinan telah dikejutkan dengan kemunculan di langit sebuah objek terbang yang aneh.
Objek tersebut berbentuk seperti kipas serta berputar dan mengeluarkan cahaya. Menurut salah seorang saksi, Mohd Yusuf Abdul Rahman, objek terbang itu berbentuk bujur dan bergerak ke arah utara. Menurutnya lagi, setiap kali ia berputar, ia mengeluarkan cahaya yang menerangi langit di atasnya serta ada yang terpancar ke tanah. Semua saksi dapat melihat UFO tersebut selama hampir 30 minit.
Hari berikutnya, kawasan yang sama masih lagi menjadi tumpuan UFO. Sebuah UFO lagi telah dilihat pada jam 9.30 malam. Seorang saksi, Usman Lagiman, mendakwa telah melihat sebuah objek terbang yang memancarkan cahayanya ke tanah.
Objek itu dikatakan berbentuk bulat serta dilihat sedang menurun ke tanah. Sebaik sahaja dia pulang ke rumahnya, dia memaklumkan kepada ahli keluarga dan jiran-jirannya. Mereka semua sempat melihat UFO itu meninggalkan kawasan itu pada pukul 10 malam dengan kelajuan yang luar biasa.
Felda Moakil telah mendapat perhatian UFO selama empat malam berturut-turut sebelum ia berpindah ke Bukit Gambir, 60 kilometer dari Muar pada 15 Januari. Pada malam itu, UFO dilaporkan telah muncul di Kg. Lomang dan Lingga dekat Muar.
Objek yang dilihat pada malam 15 Januari dikatakan telah mengeluarkan cahaya tetapi bahagian tengah badannya didakwa kosong atau gelap. Ia berbentuk bulat seperti donat.
UFO terus muncul dari tahun ke tahun pada jumlah yang sedikit pada 2002 dan seterusnya. Pada Februari dan Julai 2002, dilaporkan UFO telah dilihat di Johor Bahru. Pada Februari itu juga, ada seorang saksi mendakwa melihat sebuah objek terbang aneh bersaiz kecil telah mendarat dekat tebing sungai.
Tahun berikutnya, sebuah lagi UFO dilaporkan telah dilihat di langit malam di Skudai. Ia dikatakan terbang dari timur ke arah barat. Pada 18 Jun 2005, sebuah lagi UFO telah muncul di Johor Bahru pada siang hari. Objek tersebut dikatakan berbentuk bulat serta memantul sinaran matahari. UFO terbabit terapung-apung di udara sebelum ia ghaib begitu saja.
Bulan berikutnya, sebuah lagi UFO telah muncul di Mukim Plentong, Johor Bahru. Ia dikatakan berlegar di udara sebuah kampung untuk beberapa minit sebelum beredar dari situ. Objek itu bersaiz lebih kurang lima meter lebar.
Pada Mac 2009, seorang penduduk setempat, Zaid Zain mengatakan ternampak sebuah objek pelik berlegar-legar di ruang udara pada jam 8.30 malam. Menurutnya, objek itu mempunyai dua warna iaitu putih dan hijau. Jika dilihat dari rumahnya, ia seperti betul-betul berada di ruang udara Stadium Larkin.
Bulan berikutnya, beberapa buah UFO telah muncul semula di Larkin. Kali ini seorang pereka grafik, Mohd Zamri Zain dikatakan telah berjaya merakam kemunculan UFO tersebut.
Mengapakah UFO sering tertumpu di bahagian barat Johor? Jawapannya mungkin ada kaitan dengan kajian dua orang saintis Kanada yang mendapati lebih 70 peratus kemunculan UFO adalah di dalam zon yang ada kejadian gempa bumi.
Walaupun tiada sebarang kejadian gempa di Johor, namun sumber terdekat gempa bumi itu boleh jadi di Sumatera, Indonesia. Jika diambil kira sesuatu pusat gempa bumi di Sumatera, kekuatan gempa disebut mampu mempengaruhi jarak operasi sesebuah UFO. Sebagai contoh, jika gempa di Sumatera berukuran 5.0 skala Ritcher, maka radius kemunculan UFO adalah 500 kilometer dari pusat gempa.
Jika gempa berukuran 7.0 skala Ritcher, maka UFO boleh muncul sehingga 700 kilometer dari pusat gempa. Jika tiada sebarang gempa bumi, kemunculan UFO adalah sifar. Begitu lebih kurang teorinya seperti yang dikaji saintis.
Kerana itu, boleh dirumuskan bahawa Johor sering menjadi lokasi penampakan UFO kerana lokasinya berada dalam lingkungan pusat gempa. Begitulah teorinya.

_______

