
SEMASA melancarkan Kajian Separuh Penggal RMK12, Perdana Menteri turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).
Dijangkakan kongres itu diadakan pada awal 2024. Elok sangatlah Majlis Perundingan Melayu (MPM) membuat persiapan awal untuk warganya ikut serta kongres itu nanti.
Sebelum ini MPM secara langsung terlibat dalam beberapa kongres sedemikian.
● Pada 29 Mei 2010 ia anjurkan KEB di PWTC, desak kerajaan merombak MBE 2010 yang dilancarkan pada 31 Mac 2010. MPM bersama lebih 50 NGO sekutunya melihat MBE 2010 adalah usaha kerajaan untuk kembali ke model ekonomi pasaran terbuka, walhal kerajaan tahu yang bumiputera belum cukup bersedia.
● Pada 1 Oktober 2018 MPM dipelawa menyertai KBN 2018 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. MPM diberi pentas untuk membentangkan model kemakmuran nasional diterajui bumiputera. Tiada outcome terhasil daripada kongres itu.
● Terakhir, MPM menganjurkan KEB 1965-2020 pada 1 Oktober 2020, untuk memperbaharui sekurang-kurangnya 14 resolusi utama KEB 1 1965 yang dianjurkan oleh KPNLB pada 3-5 Jun 1965.
MPM tidak melihat agenda ekonomi sebagai satu agenda terasing daripada lain-lain agenda kemakmuran negara. Agenda ekonomi adalah tiang seri utama kemakmuran negara, paling tidak, bersama tiga lagi tiang seri ini, iaitu politik & pemerintahan, institusi & governan dan pendidikan & latihan. Begitulah juga halnya dengan agenda bumiputera, agenda ekonominya tidak boleh dilihat secara berasingan daripada agenda kemakmurannya.
Oleh yang demikian, semasa randau khas nanti untuk membuat persiapan bagi mengikuti KEB 2024 kelak, MPM akan mempelawa sama mereka dalam semua komuniti kemakmuran, selain ekonomi, terlibat sama. Pendekatan ini dijenamakan sebagai “ekosistem agenda kemakmuran bumiputera”.
I) Politik & Pemerintahan
Dari perspektif politik & pemerintahan, perkara teramat penting selain kestabilan politik ialah kesungguhan politik dan pemerintahan. Majlis Raja-Raja Melayu, selaku Pemerintah, atas nasihat institusi politik yang membentuk kerajaan, wajib memastikan agenda bumiputera tidak dipolitikkan atau diremehkan oleh mana-mana pihak. Malah, di setiap Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, salah satu agenda tetap mesyuarat ini hendaklah mengenai perkembangan semasa agenda bumiputera.
Agenda bumiputera adalah agenda kepentingan nasional yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Pemerintah dan pemimpin wajib sentiasa melindungi peruntukan ini.
Oleh yang demikian, mereka dalam kalangan warga MPM yang akan mengendalikan perkara ini semasa randau itu nanti, wajib merangka naratif baharu bahawasanya, kesungguhan pemerintah dan politik itu wajib diwartakan dengan jelas dan padu. Hendaknya, selepas KEB 2024 itu nanti semua pihak tidak lagi mempersoalkan apa juga tindakan affirmatif atau pendirian pemerintah dan pemimpin politik mengenai hak-hak istimewa bumiputera, bila mana ia dituntut dan dilaksanakan.
II) Institusi & Governan
Keunikan pembangunan institusi kerajaan di Malaysia ialah ia wujud dalam tiga strata; persekutuan, negeri dan tempatan. Datang bersama keunikan ini ialah kompleksiti yang terhasil daripadanya, apatah lagi dengan adanya begitu banyak kementerian dan agensi, tanpa ada satu pun daripadanya yang mempunyai locus standi berkuasa untuk menyelaraskan sistem dan keupayaan penyampaian dan perlaksanaan oleh setiap institusi itu.
Sering kali kompleksiti yang tercetus menjejaskan keberkesanan sistem penyampaian setiap institusi itu. Anehnya, bila tiba bab pelaporan, setiap satunya akan mempamerkan pencapaian yang menakjubkan.
Hakikatnya, terutama dalam perlaksanaan agenda bumiputera, keberkesanan sistem penyampaian inilah yang kami anggap “economic roadblock” paling ganas. Inilah “economic roadblock” yang sering menggagalkan pelaksanaan begitu banyak agenda bumiputera. Menjelang 2024 nanti, hendaknya semua institusi ini akan menjadi lebih “bumiputera-friendly” dalam sistem penyampaian masing-masing.
III) Pendidikan & Latihan
Memasuki alaf dan millennium baharu, dunia pekerjaan dan dunia keusahawanan akan lebih canggih dan mencabar. Tiada ruang bagi mereka yang berkemahiran biasa atau yang ada kemampuan untuk mengendalikan bisnes secara biasa. Hanya yang benar-benar berbakat untuk menceburi dunia pekerjaan dan mereka yang benar-benar bersedia menceburi dunia bisnes saja yang akan bertahan.
Untuk itu, peranan semua jenis institusi pendidikan dan latihan akan jauh berbeza daripada apa yang mereka tawarkan pada masa ini.
Akan jauh lebih ramai remaja lepasan sekolah menjerumuskan diri mereka untuk menjadi street smart. Yang bertahan barulah akan mengikuti kelas pengajian selanjutnya dalam bidang-bidang ilmu pilihan mereka. Mereka akan menyesuaikan pilihan ilmu yang diminati atau diperlukan untuk mengukuhkan kedudukannya memanjat tangga kemajuan sebagai street smart. Kelas virtual, kelas dalam talian dan hands-on coaching akan jauh lebih digemari oleh street smart ini berbanding kelas konvensional seperti mana sedia ada. Bersiap siagalah kita semua dengan gangguan baharu ini yang menduga dunia pendidikan.
Baca artikel berkaitan: Sudah terpilih pemimpin bersifat mazmumah, ubah diri kita dahulu
Selain tiga komponen bukan ekonomi yang dipaparkan itu, agenda ekonomi bumiputera yang akan cuba diboloskan MPM bagi dibincangkan semasa KEB 2024 itu nanti termasuklah:
● Permodelan semula agenda ekonomi bumiputera, untuk melahirkan KEB yang lebih berdaya saing, termasuk sebagai pemain global. Beberapa model yang kini digunapakai tidak sesuai atau tidak relevan lagi dengan keadaan semasa, sebab ia lebih ke arah mengasingkan KEB daripada bersaing di pentas yang sama dengan lain-lain pemain industri, apatah lagi dalam dunia ekonomi semasa dengan pasaran domestik pun sudah menjadi sebahagian daripada pasaran global tanpa sempadan. Model baharu itu nanti hendaklah kembali ke misi asal agenda bumiputera iaitu membina daya saing, menangani jurang keupayaan dan memperkemas fasilitasi bisnes, bagi membolehkan KEB setara dan saksama dari segi keupayaan dan peluang bisnes.
● Perkasakan program pembangunan bakat insan rabbani dengan lebih tersasar bagi melahirkan bakat niaga atau bakat kerja berdaya saing dan berkemampuan tinggi, terutama dalam bidang-bidang ekonomi strategik. Sasarannya termasuklah melahirkan diaspora dalam kalangan mereka untuk berani menembusi pasaran kerja atau pasaran bisnes global. Kerajaan wajib rancang dan rekacipta inisiatif bagi melahirkan insan-insan rabbani bumiputera berjati diri mulia, untuk lebih kental (resilient), mampan (sustainable), berdaya saing tinggi, berdayacipta tinggi dan bersifat mahmudah.
● Perkasakan PEA dan GLC (termasuk IPT Holdings) untuk berperanan sebagai anchor corporations dan menerajui penembusan pasaran global. Setiap satunya wajib ada program vendor masing-masing, bagi setiap bidang bisnes atau projek diceburi. Sebagai PEA atau GLC, fungsi utama mereka ialah menguruskan rantaian nilai bidang bisnes yang diceburi, bukan buat, jauh sekali menguasai, semua bisnes sepanjang rantaian nilai itu.
● Business Enabling Agencies terutama kewangan, insurans, perdagangan, pembangunan fasiliti bisnes dan sebagainya, hendaklah lebih proaktif dan kreatif dalam menawarkan perkhidmatan atau fungsi facilitation masing-masing.
● GLIC terutama agensi amanah saham dan penabungan bumiputera hendaklah berani melabur sebahagian daripada dana amanah atau dana tabungan ke dalam PKS, mid-tiers & PLC dikuasai bumiputera, bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana pinjaman. Kerajaan boleh perluaskan skop dan fleksibiliti CGC bagi tujuan ini termasuk mewujudkan skim insurans pelaburan.
● Bagi memperkasakan semula pemilikan ekuiti bumiputera, kerajaan hendaklah:
❖ Jadikan gerakan nasional bagi memastikan setiap isi rumah bumiputera ada minimum satu PKS;
❖ Galakkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam pasaran modal dengan pada masa yang sama menubuhkan Safety-net Bumi Equity Agency bagi memegang ekuiti bumiputera yang hendak dilepaskan atas apa jua alasan.
● Chamber of commerce dalam kalangan KEB wajib lebih khusus dan mempunyai misi jelas sebagai god-father kepada pemain industri yang menganggotainya. Teladani chamber of commerce bukan bumiputera yang dilihat lebih signifikan peranan masing-masing melindungi kepentingan ahli-ahli mereka.
Di kesempatan KEB 2024 itu nanti MPM akan mengulangi desakan agar diangkat semula dan diperkasakan kesemua 14 resolusi utama yang diperbaharui semasa KEB 1 1965-2020 pada 1 Oktober 2020, untuk kerajaan mengambil tindakan terhadapnya.
Semua pemain industri bumiputera, wakil NGO bumiputera yang berkaitan serta wakil agensi-agensi kepentingan bumiputera yang berhasrat menyertai Randau MPM itu nanti bolehlah menghubungi kami di Sekretariat MPM.
Penulis adalah Setiausaha Agung MPM
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

