
MINGGU lalu, saya meluangkan masa untuk menyertai Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi mewakili Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
Saya tidak pernah jemu untuk menyertai kongres dan pelbagai sesi perbincangan seumpama ini sejak lebih 20 tahun yang lalu walaupun kongres sebegini juga seringkali mengecewakan keberhasilannya.
Pada pandangan saya, langkah seumpama ini perlu dilihat secara positif sebagai usaha untuk mencerna serta mengeluarkan idea yang boleh digunapakai oleh kerajaan untuk membentuk dasar ekonomi, khususnya dalam memperkasa ekonomi Bumiputera yang hak-hak sedemikian terpelihara di bawah Fasal 153, Perlembagaan Persekutuan.
Kongres Ekonomi Bumiputera seperti KEB 2024 bukanlah baharu sebenarnya kerana KEB yang pertama pernah diadakan pada tahun 1965, KEB kedua pada tahun 1966 dan KEB ketiga pada tahun 1992 (setelah Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dilancarkan pada 17 Jun 1991).
Selepas itu, dasar-dasar berkaitan ekonomi Bumiputera lebih dibincangkan dalam platform pembentukan dasar ekonomi seperti kajian separuh penggal Rancangan Malaysia atau penyediaan model baharu ekonomi yang dilaksanakan seperti di era Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan semula kongres seumpama ini dengan menjenamakannya sebagai Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.
Terbaru pula, kerajaan Perpaduan telah mengadakan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, pada 28 Februari – 1 Mac 2024 dengan bertemakan positif, progresif dan inovatif.
Dua menteri dipertanggungjawabkan untuk memimpin KEB 2024 iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu).
Jawatankuasa itu bertujuan memurni dan menggerakkan ikhtiar, inisiatif mahupun program KEB 2024 yang diluluskan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).
Baca artikel lain: Pengalaman bawa misi Pak Lah menjuarai TVET di ASEAN
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli pula dipertanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Kerja MEB bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dijalankan secara efektif dan berkesan.
Dalam KEB 2024, sebanyak 74 resolusi dihasilkan dengan cadangan 150 program dan 132 ikhtiar berjaya dicapai.
Pada 19 Ogos 2024, Pelan Transformasi Bumiputera 2035 (PUTERA 35) telah dilancarkan.
Daripada keseluruhan KEB atau forum seumpamanya yang telah wujud sejak 60 tahun lalu, hampir separuh KEB dalam tempoh tersebut saya lalui sendiri (sejak KEB ketiga pada tahun 1992 sebagai pelajar yang meminati ekonomi dan keusahawanan), manakala forum berkaitan selanjutnya hinggalah KEB 2024 adalah atas dasar saya sebagai penggiat ekonomi dan ahli perniagaan.
Pada era Abdullah dan Najib, saya telah terlibat secara aktif hinggalah ke tahap menduduki beberapa jawatankuasa penting terutama ahli Kumpulan Fokus yang ditubuhkan kerajaan terutama kepada beberapa sektor seperti pendidikan TVET, sekuriti makanan, pembangunan wilayah, pembasmian kemiskinan dan keusahawanan generasi baharu.
Maka penglibatan aktif saya itu turut memberi ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk menilai kejayaan dan kegagalan sesuatu gagasan kongres ekonomi bumiputera yang pernah diusahakan kerajaan selama ini.
Dalam konteks KEB 2024, setelah saya menyertai pemukiman KEB 2024 minggu lalu, secara jujur dan Ikhlas saya katakan bahawa prestasi, keberhasilan dan impak seperti yang dijanjikan dalam PUTERA 35 boleh dianggap masih belum mencapai standard yang pernah dihasilkan melalui kongres di era kerajaan Barisan Nasional memerintah.
Saya menilai pencapaian ini bukan atas sentimen politik atau kepentingan peribadi tetapi melihat hala tuju, prestasi perlaksanaan dan kesungguhan mencapai matlamat yang bersifat sebagai ejen perubahan (game changer, quick win), anjakan berganda dan pencapaian luar biasa yang sangat diperlukan terutama ketika era krisis geopolitik, geoekonomi dan cabaran perubahan iklim global (climate change).
Pencapaian prestasi dan impak KEB 2024 perlu dilaksanakan dengan cepat, cekap, jimat dan berkesan melalui inisiatif-inisiatif yang sesuai dengan cabaran abad ke-21.

Kekecewaan ini secara jujurnya diluahkan oleh Ahmad Zahid sendiri. Malah, salah seorang ketua kluster inisiatif KEB 2024, iaitu Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, secara terbuka dan lantang mempersoalkan hala tuju, keberkesanan perlaksanaan serta tahap keseriusan kerajaan untuk melaksanakan KEB 2024 yang dilihat beliau umpama hidup segan mati tak mahu.
Hampir kesemua pembentang kluster pula telah menggariskan cabaran besar yang dihadapi ialah tahap penerimaan dan kedegilan agensi pelaksana untuk memainkan peranan serius untuk menjayakan PUTERA 35.
Selain saya yang sudah berpengalaman luas ini, rata-rata peserta yang hadir juga tidak kurang berpengalaman dengan kongres-kongres yang lalu turut menzahirkan keresahan dengan meramalkan kegagalan dan ketiadaan faktor wow untuk meningkatkan semangat baharu ekonomi Bumiputera dalam KEB 2024.
Maka, kedengaranlah di mana sahaja terutama ketika berita ucapan kekecewaan Timbalan Perdana Menteri sendiri disiarkan kebanyakan media, apakah KEB 2024 sekadar mahu menyedapkan hati orang Melayu? Apakah kerana Perhimpunan Agung UMNO sudah dekat? Apakah kongres dan pemilihan PKR juga serentak berlangsung? Apakah kerana pilihan raya negeri Sabah yang semakin membara?
Paling membimbangkan ialah apabila rakyat khususnya kaum Bumiputera sedang memerhati serta menilai tahap kesungguhan kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan agenda Bumiputera dengan Ikhlas dan bersungguh-sungguh?
Namun di sebalik keresahan tentang nasib dan keupayaan pemimpin UMNO yang diberi mandat utama mengetuai gagasan KEB 2024, kaum Bumiputera masih menaruh kepercayaan dan harapan yang besar kepada pemimpin UMNO untuk berjuang habis-habisan kerana sedikit sebanyak UMNO telah terbukti pernah menjayakan agenda ekonomi Bumiputera ketika mereka mendominasi pemerintahan negara sebelum ini. Perkara yang tidak boleh dinafikan begitu sahaja.
Apakah faktor kegagalan dasar dan gagasan kongres-kongres ekonomi sebelum ini? Bagaimana KEB 2024 tidak mengulangi kelemahan kongres-kongres tersebut? Semuanya akan saya ulas dalam kolum mingguan saya, Randau Demi Negara pada minggu hadapan.
Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi*
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

