MALAYSIA di bawah pentadbiran Kerajaan Madani menegaskan terus kekal dengan pendirian untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditekan hebat oleh rejim zionis Israel.
Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar Kerajaan Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.
Beliau menegaskan, Malaysia juga berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Pendirian lantang dan tegas Malaysia telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa. Ia
termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan
Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ketegasan Malaysia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.
“Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar
menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soal perkembangan semasa konflik Palestin dengan Israel dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Baca juga: Malaysa kekal pendirian, Palestin perlu bebas daripada pendudukan haram Israel
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisyitiharkan negara itu kini dalam status “berperang” selepas kumpulan Hamas melancarkan serangan mengejut pagi Sabtu, menembak beribu-ribu roket dan memasuki negara itu melalui darat, laut dan udara menggunakan paraglider.
Dalam serangan tersebut, sekurang-kurangnya 300 orang maut dan beribu-ribu yang lain cedera di Israel dengan pertempuran berterusan sepanjang hari dan serangan roket baru membanjiri Tel Aviv dan kawasan lain.
Sementara itu, Israel yang melancarkan serangan balas melalui udara dan darat pagi ini menyebabkan sekurang-kurangnya 232 rakyat Palestin maut dan lebih 1,600 cedera di Gaza, kata kementerian kesihatan Palestin.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memohon ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menyokong sepenuhnya ketetapan-ketetapan Kerajaan Perpaduan dalam isu konflik Palestin dengan Israel.
Katanya, antara ketetapan tersebut adalah Malaysia amat bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak di bumi Palestin yang telah melihat ribuan nyawa melayang termasuk orang awam yang tidak berdosa, bilangan kecederaan yang semakin meningkat mendadak dan kerosakan harta benda yang amat besar.
Selain itu, Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan
keganasan dan pertempuran demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam.
Ahmad Zahid menambah, masyarakat antarabangsa hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau.
“Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah
dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia berpendirian teguh bahawa setiap konflik boleh diselesaikan di meja perundingan. Malaysia percaya bahawa satu hari
nanti, dengan izin Allah SWT, InsyaAllah, Palestin akan dibebaskan dari cengkaman rejim Zionis dan akan mendapat semula hak-hak mereka yang diperjuangkan selama ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

