SUSULAN Keputusan pelakon dan usahawan Mawar Rashid yang tidak lagi mengenakan hijab, suaminya iaitu Raf Yakoob mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Raf atau Raden Ahmad Faizal Yaakob, 35, dalam hantaran yang dimuat naik ke Instagramnya memohon maaf kepada pihak media kerana tidak melayan mesej, WhatsApp mahupun panggilan telefon.
“Minta maaf kepada semua rakan-rakan media yang menghubungi saya melalui panggilan telefon, Whatsapp atau DM sebab saya tidak dapat jawab.
“Mawar sudah memberikan kenyataannya malam tadi dan saya tidak mahu lagi membuat sebarang kenyataan untuk memanjangkan isu ini. Kerana ini adalah perkara yang sangat peribadi antara saya dan Mawar, Mawar dan Allah,” jelasnya.
Melalui hantaran yang sama, Raf meminta agar orang ramai mendoakan yang terbaik buat isteri tercinta.
“Sebagai suami, Mawar tahu apa yang saya tuntut dalam perkahwinan. Kami akan menguruskan hal ini secara tertutup. Pada masa akan datang, kita semua doakan yang baik-baik untuk Mawar,” tambahnya.
Terdahulu, tindakan Mawar telah mendapat perhatian netizen apabila dia membuat pengumuman dia tidak lagi mengenakan hijab.
Mawar akui dirinya gagal untuk terus istiqamah bertudung. Malah, dia turut memohon maaf kepada semua pihak yang kecewa dengan tindakannya itu.

