SELEPAS membiarkan orang ramai berteka-teki mengenai status diri, akhirnya pelakon Mawar Rashid berkongsi bahawa ibunya sudah sah bernikah dengan lelaki dari negara Brunei sekaligus menafikan dia berkahwin kali kedua.
Mawar atau nama penuhnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid,30, berkongsi di platform Instagram miliknya bahawa perkahwinan tersebut merupakan antara ibunya, Marinee Abdullah dengan kenalan lama iaitu Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar. dengan hanya satu mesej.
“Mawar tak pernah sangka yang Mawar akan merasa kehadiran seorang ayah.
“Siapa sangka dari kenalan lama di Brunei bertemu jodoh hanya dari satu mesej ’lama tak jumpa’ dari posting Prince Mateen kahwin dan babah (ayah tiri) dalam video tersebut,” ujarnya.
Mawar juga meluahkan perasaan sedih bahawa dirinya akan berjauhan dengan ibunya yang akan menetap di Brunei.
Namun begitu, Mawar menyatakan bahawa ibunya berhak untuk mendapat kebahagian sepanjang hayat.
“Sukar untuk terima kenyataan yang mumy (Ibu Mawar) akan tinggal di Brunei tapi mummy berhak jalani kehidupan bahagia sepanjang hayat,” luahnya.
Di samping itu, Mawar juga dengan gembira menyambut kedatangan keluarga barunya dari Brunei.
“Kepada keluarga baru saya di Brunei, selamat datang ke keluarga kami. Sayang kamu semua,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya meluahkan rasa terkejut dan menganggap Mawar sengaja mewujudkan situasi suspen dan plot twist.
Terdahulu, menerusi laporan URTV, Mawar bertindak untuk mengunci mulut dan hanya akan berkongsi berita gembira tersebut pada masa yang sesuai.
Pada Sabtu lalu, hantaran di Instagram Story Mawar meraih perhatian ramai apabila dia dilihat memuat naik foto tangan berinai dan wajah sedang disolek jurumekap seperti memberi bayangan akan mengakhiri zaman jandanya.

