SELEPAS mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyindir menantunya, ibu Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman turut menzahirkan rasa kesal terhadap perbuatannya anak perempuan sulungnya itu.
Jelas Fauziah, dia hilang kata-kata melihat anak-anaknya saling berbalah melalui media sosial sekaligus mendedahkan aib keluarga sendiri.
Malah kata Fauziah lagi, dia seakan sudah tidak mengenali diri anak perempuannya yang bernama Shila.
“Untuk anakku Nurshahila yang telah emak kandung di rahim pinjaman Allah ini selama sembilan bulan, yang telah emak lahirkan, susukan dan besarkan selama ini.
“Emak dah hilang kata-kata. Satu demi satu dugaan menimpa diri mak di usia yang tinggal sisa ini. Sungguh hanya Allah lebih mengetahui segala apa yang terjadi sekarang.
“Jujur, mak sudah tidak kenal siapa Nurshahila lagi. Tulisan ini bukan untuk mengusik nama besar kamu dan bukan juga petanda emak ‘menangkan’ adik-adik.
“Tidak pernah ada sikap melebihkan anak yang mana biar ada yang terlebih terkurang itu ini. Allah tahu kasih sayang seorang ibu itu sama sahaja kepada setiap anak-anaknya biar mereka hebat, kaya, degil, nakal atau sebagainya,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, Fauziah telah memadam entri tersebut selepas beberapa minit dimuat naik.
Dedah Fauziah, dia tidak pernah memaksa Shila untuk bekerja sejak kecil selain turut menyangkal dakwaan mengatakan dia membelanjakan duit hasil titik peluk anaknya itu.
“Nurshahila memang sudah bernyanyi sejak usia kanak-kanak tapi semua atas rela jiwanya sendiri tiada paksaan. Mungkin, apa yang mak korbankan ke sana sini menemani Nurshahila hanya ‘kewajipan’ emak sebagai ibu. Mungkin tiada budi dan pengorbanan emak di situ.
“Mak bahagia dan bangga melihat kejayaan cita-cita anak yang diinginkan sejak kecil, mungkin segala sukses itu bukan doa dari mak.
“Apakah lupa emak hanyalah seorang isteri yang taat dan menurut apa sahaja yang diatur oleh bapa Nurshahila? Apakah emak yang selama ini mengatur ekonomi keluarga?.
“Hingga duit tu dikatakan habis sampai kita sendiri tak tahu berapa keseluruhan jumlahnya. Kita berdua hanya di hantar ke China untuk berkerja. Tanyalah diri dan kamu tahu siapa yang menghabiskannya!,” jelasnya.

