SUSULAN masalah teknikal semasa persembahan, pihak produksi program Famili Duo musim ketiga (FD3) tampil mohon maaf kepada pasangan adik-beradik iaitu Shila Amzah dan Amir Syahir.
Menurut penerbit eksekutif Famili Duo, Muhammad Sufian Che Isa, insiden itu berlaku di luar kawalan pihak produksi malah bukan hanya mikrofon pasangan duo itu sahaja yang bermasalah.
“Untuk persembahan Shila dan Syahir… Kami daripada pihak produksi memohon maaf, memang bukan disengajakan.
“Isyarat frekuensi mikrofon tiba-tiba hilang…Bukan mikrofon Shila dan Syahir sahaja bermasalah tetapi mikrofon back up pun hilang isyarat,” jelasnya.
Namun, Sufian meluahkan rasa syukur kerana kesilapan itu hanya berlaku selama 10 saat sahaja.
“Nasib baik ia berlaku dalam tempon 10 saat sahaja, kalau lebih daripada itu memang kita kena buat sesuatu. Malangnya ia berlaku pada persembahan Shila dan Syahir,” ujarnya kepada mStar.
Pengkongsian itu dibuat oleh Sufian ketika sidang media selepas konsert minggu pertama FD3 yang diadakan di Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Sufian juga menyatakan bahawa segala peralatan teknikal berjalan dengan lancar sebelum program berlangsung dan tidak menyangka kejadian di luar kawalan terjadi semasa siaran langsung.
Bagaimanapun bagi Sufian, insiden seperti itu diharap dapat memberikan ilmu kepada setiap peserta dalam mengawal situasi yang mungkin berlaku di luar kawalan mereka.
“Untuk siaran langsung seperti ini memang berlaku kita tidak bolen kata perkara macam ini tidak akan berlaku kerana ia di luar kawalan.
“Tapi mereka juga berlajar sesuatu untuk mengatasi masalah itu di atas pentas… itu antara cabaran artis di atas pentas iaitu kegagalan teknikal,” katanya.
Sementara itu Shila pula menganggap kejadian itu di luar kawalan yang boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.
Namun dia dan adiknya percaya telah memberikan persembahan yang terbaik sewaktu berada di atas pentas.
“Bukan kecewa tetapi lebih kepada tak dapat kepuasan… kalau benda itu tak berlaku mungkin kami boleh beri lebih lagi.
“Entahlah…. seperti juga kehidupan ada masalahnya, jadi kita teruskan sahaja… apa lagi yang bolen dibuat.
“Benda tak jangka… kita dah buat latihan beberapa hari dan semua berjalan dengan lancar. Tapi paling penting kita dah buat sehabis baik pada ketika itu.
“Bukan kecewa tetapi lebih kepada tak dapat kepuasan… kalau benda itu tak berlaku mungkin kami boleh beri lebih lagi,” jelasnya.
Shila dan Syahir berjaya mendapat tempat kedua dengan markah sebanyak 49.1 peratus pada persembahan minggu pertama itu.
Pasangan adik-beradik itu menganggap tiada rezeki buat mereka untuk memberikan persembahan yang terbaik. Manakala pasangan adik-beradik Sharif dan Syaiful pula muncul sebagai juara mingguan dengan markah sebanyak 55.4 peratus. Kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Tempat ketiga pula milik Ryan dan Adam Bakery dengan 42.2 peratus, Tom dan Fuad (41.3), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (37.8) serta Adira dan Emma Suhaimi (36.2).
FD3 bersiaran langsung setiap hari Ahad, pukul 9 malam di TV3 dan Tonton.

