PENERBIT dan pengarah Michael Ang telah mendedahkan dia menerima pelbagai kecaman daripada netizen susulan kenyataan yang menyentuh isu mengenai Palestin dan Israel.
Michael berkata, hantaran di Instagramnya itu telah disalah anggap mengakibatkan dia menerima pelbagai komen negatif, kata ugutan, malah, ahli keluarganya turut menerima tempias.
“Hantaran saya baru-baru ini tidak tulis nama mana-mana sama ada Palestin atau Israel tapi Caprice yang manipulasi cakap saya sokong Israel.
“Itu tidak adil, dia ada berjuta pengikut dan kenyataan dia tu menyebabkan semua orang ingat saya sokong Israel dan mula memaki hamun saya.
“Yang keluarkan apa-apa kenyataan adalah saya, kalau nak maki, sila maki saya. Jangan libatkan anak atau keluarga saya,” katanya kepada URTV
Dalam pada itu, Michael juga memberitahu ada netizen yang memintanya untuk keluar daripada Islam dan kembali kepada agama asal.
“Saya tidak kisah kalau mereka nak suruh saya keluar Islam, ini semua urusan saya dan Allah. Kalau netizen kata saya tak layak bergelar Muslim pun saya tidak kisah.
“Saya tidak perlu orang lain mengatakan saya Muslim atau mualaf yang baik,” ujarnya.
Michael berkata demikian ketika ditemui di sidang media program realiti masakan, Dapur Tempur Selebriti, hari ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang bakal bersiaran di TV9.
Terdahulu, perbalahan antara Michael dan Caprice menjadi perhatian ramai apabila penyanyi tu seolah-olah menuduh Michael memberikan sokongan kepada Israel.
Michael pernah memberi amaran kepada Caprice supaya henti menjadi batu api dan memutarbelitkan segala kenyataan berhubung kelantangannya menghentam rejim zionis tersebut.
Menurut Michael dia bukan sahaja membenci tindakan rejim zionis itu malah mengkritik sokongan kuasa-kuasa besar dunia yang turut membantu Israel melakukan keganasan.

