PELAKON Aniq Suhair menyifatkan dakwaan dirinya menghamilkan seorang wanita sebaga berniat jahat sekaligus mencalarkan reputasinya.
Aniq Suhair atau Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berkata, dia menyerahkan kepada peguamnya untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang mencetuskan fitnah tersebut.
“Saya sedia maklum dengan apa yang sedang tular di media sosial dalam beberapa hari ini. Saya juga ingin menyatakan bahawa dakwaan yang dilemparkan adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik saya.
“Saya telah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi hak dan menjaga nama baik saya dan keluarga, termasuklah memulakan tindakan saman.
“Atas nasihat peguam, saya tak dapat beri komen lanjut kerana ia akan menjejaskan proses undang-undang. Saya juga akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. Terima kasih,” katanya Aniq menerusi satu kenyataan yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya.
Terdahulu, kecoh di TikTok apabila seorang wanita mendakwa dirinya telah hamil anak luar nikah hasil hubungan terlarang dengan seorang pelakon lelaki.
Wanita itu turut membuat pendedahan bahawa aktor tersebut enggan bertanggungjawab dan meminta dirinya mengugurkan kandungan tersebut.
Nama Aniq ‘dipetik’ netizen selepas dikatakan pelaku tersebut merupakan seorang pelakon lelaki yang sedang dalam proses mendekatkan diri kepada Allah dan mempelajari ilmu agama Islam.

