KELMARIN kerajaan menerusi Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengumumkan beberapa penambahbaikan atas inisiatif dalam mendepani ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.
Antara yang diumumkan adalah kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 berbanding RM160 sebelum ini.
Namun begitu wujud dakwaan yang kononnya kerajaan umum bantuan namun tidak dibayar, demikian adalah penjelasan daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ada pihak cuba menimbulkan persepsi kononnya kerajaan mengumumkan bantuan kepada pesawah tetapi terlalu lewat atau pun gagal menyalurkannya .
Bang Mat nak jelaskan perkara sebenar supaya rakyat mendapat gambaran yang tepat, bukan berdasarkan cerita dari mulut ke mulut atau dakwaan yang tular di media sosial tanpa semakan.
Kerajaan MADANI telah menaikkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 sehektar bermula musim 1/2025, dan semalam kerajaan mengumumkan kenaikan lagi nilai bantuan kepada RM300 sehektar.
Bagi musim 1/2025, bayaran IPKP telah SELESAI SEPENUHNYA, melibatkan RM39.314 juta kepada lebih 135,000 pesawah di seluruh Semenanjung.
Bagi musim 2/2025, setakat semalam lebih RM27 juta telah dibayar, manakala kira-kira 30 peratus baki tuntutan sedang dalam proses dan akan diselesaikan tak lama lagi.
Untuk yang belum tahu, kaedah bayaran IPKP ialah “buat dulu, baru tuntut”. Ia tidak sama seperti bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi yang terus dikreditkan ke akaun penerima.
Kenapa guna kaedah ini?
Kerana dalam setiap musim, ada pesawah yang menanam dan ada yang tidak. Ada yang musim ini mengusahakan 10 hektar, musim berikutnya hanya 8 hektar.
Sebab itu tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan supaya wang rakyat diurus secara telus dan tepat.
Perlu juga faham bahawa musim penanaman padi di setiap negeri tidak seragam.
Contohnya, ketika Kedah mula memasuki musim baharu penanaman, ada negeri lain seperti Kelantan yang masih berada di fasa menuai.
Jadi bayaran tidak boleh dibuat serentak kepada semua negeri pada masa yang sama.
Selepas tuntutan dikemukakan oleh penyedia perkhidmatan atau pesawah, pegawai akan turun ke lapangan untuk membuat pengesahan. Jika dokumen lengkap dan tuntutan disahkan, bayaran akan diproses.
Selain IPKP, Kerajaan MADANI juga telah memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) sebanyak RM50 sehektar bermula tahun 2025, iaitu bantuan baharu yang tidak pernah diwujudkan sebelum ini. Proses pembayaran IPP juga menggunakan kaedah tuntutan yang sama.
Dengan penjelasan ini, Bang Mat harap rakyat dapat membezakan antara proses pengurusan bayaran dengan dakwaan palsu kononnya kerajaan tidak membayar langsung.
Hakikatnya, bantuan telah dibayar, sedang dibayar, dan baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan.
Kepada pihak yang suka mencari populariti dengan menunggang keresahan pesawah, Bang Mat yakin majoriti rakyat hari ni sudah bijak menilai, siapa yang buat kerja, dan siapa yang hanya main politik.
Bagi Kerajaan MADANI, kita akan terus bekerja, tambah bantuan, baiki sistem, dan pastikan kebajikan pesawah terus terbela.
Apa sahaja kelemahan dalam proses tuntutan yang dikenal pasti, Kementerian dan Kerajaan akan terus menambah baik dari semasa ke semasa.
Misalnya ada kes yang Bang Mat dimaklumkan, ada pesawah dah dulukan duit upah bajak kepada penyedia perkhidmatan dan lepas kerajaan bayar kepada penyedia perkhidmatan, penyedia perkhidmatan ini tidak memulangkan lebihan bayaran kepada pesawah atas pelbagai alasan.
Isu ini sedang diatasi, nanti pihak Kementerian akan umumkan penambahbaikan kaedah tuntutan dan bayaran dalam masa terdekat, insya-Allah.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

