PELAKON Azri Iskandar akui hubungannya bersama tunang yang juga dikenali sebagai Dr Azra itu semakin renggang kerana sudah lebih setahun mereka tidak bersua.
Azri atau nama sebenarnya, Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 55, berkongsi dia untuk melangkah ke alam perkahwinan, dia harus memperbaiki hubungannya terlebih dahulu bersama Dr
Azra.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah lebih setahun lalu. Dulu, hari-hari juga kami berhubung walaupun tak berjumpa. Sekarang dah tak seperti dulu lagi.
“Saya tak bergaduh dengan dia. Dia memang wanita yang baik. Cumanya, kami jadi renggang sebab jarang berpeluang untuk berjumpa,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu, anak-anak serta bekas isterinya, Ellie Suriaty menyarankan agar dia mencari wanita lain sekiranya ingin dijadikan pasangan.
“Anak-anak suruh cari orang lain sebab pada mereka, dia (Azra) nampaknya seperti tak ikhlas. Sampai sekarang, Ellie suruh saya cari orang lain (sebagai pasangan).
“Sebelum ini, saya ada keluar dengan wanita lain juga dan yang itu mendapat sokongan daripada anak-anak saya. Kata mereka, kalau yang itu, okay.
“Saya sedang berkawan dengan wanita lain juga. Ada yang saya kenal itu bekerja dalam industri juga dan ada yang tidak. Tapi, bukanlah pelakon,” ujarnya.
Sementara itu, apabila disoal mengenai kewujudan wanita berusia 44 tahun itu, Azri menegaskan bahawa wanita itu benar-benar wujud.
“Apa salahnya kalau dia muat naik sekeping gambar supaya orang tahu kewujudan dia. Isunya sekarang, orang ingat dia tak ada dan hanya ada dalam otak saya saja. Sebenarnya dia memang ada. Ada kawan-kawan yang belajar dengannya di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) pun kenal dia.
“Kalau saya jadi dia, saya akan ‘keluar’ (dedahkan kewujudan) sebab tak tergamak buat begini. Barulah tandanya sayang,” jelasnya.
Terdahulu, Azri mendedahkan dia sudah bertunang dengan kekasihnya Azra di kediaman wanita itu di Kangar, Perlis pada Jun tahun lalu.
Azra digambarkan sebagai wanita yang memiliki Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang muzik. Dia juga adalah penulis skrip dan kini mula berjinak dalam dunia lakonan.

