PERTUDUHAN baharu yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa usaha bagi mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai kegagalan kerajaan.
Perkara tersebut dinyatakan Wan Saiful dalam sidang media selepas sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 18 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta, hari ini.
Menurut Wan Saiful, kerajaan ‘terpaksa’ mencari isu-isu baharu yang boleh digunakan untuk mengalih perhatian rakyat daripada segala bentuk kegagalannya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu mendakwa, usaha tersebut dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa kerana kerajaan sedang dikritik teruk rakyat.
“Saya menganggap pertuduhan baharu yang dikenakan kepada saya adalah satu usaha untuk mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.
“Gagal mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup; gagal membantu rakyat dengan cara efektif; gagal menjalankan reformasi yang kononnya mereka perjuangkan sejak dahulu.
“Malah, buat demonstrasi bantah kekejaman Israel pun gagal kerana banyak aduan yang kita terima,” katanya dalam sidang media itu.
Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa pertuduhan baharu yang dikenakan terhadapnya itu juga dilihat dilakukan dengan gopoh dan tergesa-gesa.
“Sehinggakan tadi apa yang berlaku dalam mahkamah, apabila saya masuk di mahkamah pertama dan keputusannya adalah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
“Saya pun tak faham tanpa dibebaskan daripada apa sebab masa itu saya belum dituduh.
“Akibat kegopohan itu, saya merasa juga DNAA selama lebih kurang 30 minit dan selepas itu serta-merta dituduh semula di mahkamah bersebelahan. Ini melambangkan betapa kegopohan itu memang wujud sehingga berlaku kepincangan sebegini,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Wan Saiful tiba di mahkamah, dijangka hadapi pertuduhan gubah wang haram
Terdahulu, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.
Bagaimanapun, ahli politik berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Tidak bersalah dan mohon dibicarakan (bagi pertuduhan berkenaan),” katanya.
Wan Saiful tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi ini, dengan memakai sut hitam dan kemeja putih, selain dilihat tersenyum serta sempat bertanyakan khabar kepada beberapa pengamal media yang merakam video dan gambarnya.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.
Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan surat setuju terima bagi projek tersebut.
Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

