“ALANGKAH baiknya jika gabungan UMNO, Pas dan RESET membentuk Kerajaan Negeri Johor seterusnya menjadikan Johor sebagai model untuk Malaysia secara keseluruhan.”
Demikian kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan cadangan itu sebagai menyokong saranan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa supaya penyusunan baharu politik Melayu dimulakan di Johor.
Menurut Wan Saiful, Johor boleh menjadi model penyatuan politik parti-parti Melayu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor itu boleh disokong oleh golongan bukan Melayu yang tidak ekstrim sebagai cerminan semangat sebenar acuan Perlembagaan Persekutuan.
“Di Malaysia, Sarawak terkehadapan. Parti GPS yang memimpin Sarawak merupakan sebahagian Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) tetapi PH pula jadi pembangkang di Sarawak.
“Maka, Johor berpeluang menjadi negeri terkehadapan di Semenanjung untuk menyemarakkan amalan federalisme di Malaysia.
“Saya yakin Gerakan RESET juga terbuka dengan cadangan itu,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, isu logo dan nama parti adalah isu teknikal yang boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya perkara prinsip telah dipersetujui.
Katanya, Malaysia telah biasa dengan calon parti A menggunakan logo parti B atas dasar kerjasama seperti yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Atas dasar penyatuan, beliau berkata, tidak mustahil satu logo yang sama digunakan oleh semua calon walaupun berbeza parti atau diwujudkan logo baharu untuk gabungan baharu.
“Parti seperti PH yang meremehkan agenda penyatuan Melayu perlu ditolak dan parti-parti yang semakin cenderung ke arah PH kerana mahu menyelamatkan diri sendiri dan ahli keluarga juga perlu ditolak.
“Kerjasama di Johor tidak perlu menggugat kerjasama di peringkat Persekutuan kerana kepelbagaian susun atur adalah perkara sihat dalam sistem federalisme.
“Johor boleh melakar sejarah melalui PRN ini. Rundinglah dengan meletakkan matlamat penyatuan sebagai paling tinggi,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

