BEKAS Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin atau lebih disapa sebagai KJ mencuri perhatian netizen selepas muncul dalam satu iklan untuk jenama produk makanan terkenal.
Menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya, KJ juga berkongsi iklan pendek yang menunjukkan karakter dirinya sebagai seorang penghantar makanan (rider).
Lakonannya yang bersahaja dan tidak kekok itu telah membuatkan netizen berasa teruja. Malah, KJ juga turut menyelitkan aksi komedi dalam dialognya ketika berbual bersama orang kampung membuatkan netizen menyukainya.
Oleh kerana bakatnya dalam bidang lakonan terserlah, netizen mula mengusiknya dengan memetik nama pelakon yang dikenali dengan jolokan hero Malaya iaitu Remy Ishak berkenaan dengan tawaran lakonan.
“Alamak cip! Hilanglah job Remy Ishak lepas ni.
“Serba boleh la KJ ni, lepas ni boleh berlakon filem lah pula.
“Jangan terkejut kalau KJ tercalon pelakon paling popular nanti,” usik pengikutnya di ruangan komen.
Dalam pada itu, ada juga yang bergurau sanggup membeli produk makanan tersebut dengan jumlah yang banyak semata-mata mahu KJ hantar ke rumah mereka.
“Kalau delivery boy macam ini, saya sanggup order 10 paket.
“Steady KJ! kalau KJ yang hantar ke rumah, hari-hari saya order.
“Saya order sekarang juga, kalau bukan KJ yang hantar saya akan minta refund haha” tulis netizen.
Terdahulu, KJ pernah terlibat dengan lakonan untuk satu video pendek mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersama pelakon Vanidah Imran pada tahun 2018.
KJ juga turut terlibat dalam satu lagi filem pendek berjudul Inspektor Mastura dan memegang watak sebagai penjual ayam percik.

