KAWASAN tadahan air dijamin tidak akan terbabit jika cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dilakukan di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, namun begitu buat masa ini, cadangan itu masih di peringkat publisiti dan penyertaan awam.
Katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas memperoleh hasil proses publisiti dan penyertaan awam yang akan berakhir pada 11 November ini.
“Untuk cadangan KSAS, kita masih di peringkat pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) supaya kita dapat selaraskan perancangan pembangunan Kelantan terutama berkaitan mineral.
“Bagi kawasan takungan air, kita beri jaminan tidak akan menyentuh kawasan berkenaan. Kita juga perlu melihat hasil yang ada dan sekiranya boleh dimanfaatkan, kenapa tidak? Namun kita akan lihat setakat mana dan berapa keluasan yang akan terbabit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), hari ini.
Baca artikel lain: Kerajaan perhebat program SMART SBB Ala Sekinchan – Mohamad
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini mengingatkan kerajaan negeri bahawa kerajaan Persekutuan akan menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian KSAS di negeri itu diteruskan.
Katanya, cadangan pengubahsuaian itu tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang diperkenalkan pada tahun 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, pihaknya akan memberikan maklum balas berhubung surat yang dihantar oleh Nik Nazmi dalam masa terdekat.
Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan dan pakar alam sekitar juga memberi ingatan supaya cadangan itu tidak diteruskan bagi memastikan kelestarian hutan di negeri berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

