PIHAK polis menahan empat suspek kejadian yang dipercayai kes bunuh melibatkan seorang remaja berusia 19 tahun di Kampung Padang Simah, Ketereh tengah malam semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang perempuan yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 66 tahun.
Jelas beliau, kesemua suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Katanya lagi, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu.
“Polis telah menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut adalah dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, satu pasang selipar, empat unit pelapik kaki serta satu bilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Yusoff menambah laporan hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Semalam, UtusanTV melaporkan mayat seorang wanita yang ditinggalkan di kawasan sawah padi di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.
Mohd Yusoff berkata, tikaman kebanyakan tertumpu di bahagian kanan badan dari muka hingga ke kaki mangsa.
Jelasnya, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri namun berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

