MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah mengadakan mesyuarat tergempar dan mendengar penerangan daripada Ketua UNRWA – agensi PBB yang menyokong pelarian di Palestin.
Philippe Lazzarini berkata tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku adalah “terlalu berat” dan mengulangi bahawa tidak ada tempat yang selamat di Semenanjung Gaza.
Beliau yang dipetik BBC juga menggambarkan serangan Israel, arahan pengosongan dan kepungan di Gaza sebagai “pemindahan paksa” dan “hukuman kolektif”.
Menurut beliau kepada mesyuarat tergempar itu, seramai 3,200 kanak-kanak telah terbunuh di Gaza dalam masa tiga minggu, melebihi jumlah kanak-kanak yang terbunuh setiap tahun di zon konflik di seluruh dunia sejak 2019.
Beliau berkata, ia tidak boleh dianggap sebagai kerosakan sampingan.
Kata Lazzarini kepada UNSC, UNRWA telah kehilangan 64 kakitangan di Gaza, termasuk seorang yang katanya, meninggal dunia hanya dua jam sebelum itu bersama isteri dan lapan anak mereka.
Beliau juga berkata penduduk Gaza percaya masyarakat dunia menyamakan mereka semua sebagai Hamas, dan itu adalah bahaya apabila seluruh populasi dihina.
Perjuangan Hamas, kata Lazzarini tidak melepaskan tanggungjawab Israel di bawah Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Sambil menggesa ahli-ahli majlis untuk mengubah haluan krisis itu Lazzarini berkata, masa kini dan masa depan penduduk Palestin dan Israel bergantung kepada gencatan senjata kemanusiaan dengan segera.
Beliau juga mengulangi gesaan untuk kemasukan bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang dan berterusan, termasuk bahan api dan perlindungan kepada orang awam serta infrastruktur awam.
Sementara itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak gencatan senjata dengan Hamas dengan menyifatkan ini adalah masa untuk perang.
“Sama seperti Amerika Syarikat tidak akan bersetuju dengan gencatan senjata selepas pengeboman Pearl Harbour atau selepas serangan pengganas pada 9/11, Israel tidak akan bersetuju menghentikan permusuhan dengan Hamas selepas serangan mengerikan pada 7 Oktober.
“Gesaan untuk gencatan senjata adalah seruan untuk Israel menyerah kepada Hamas, untuk menyerah kepada keganasan,” katanya.

