PELAKON Farah Ahmad akui hidupnya kini sedikit penat dan sukar selepas kematian suami tercinta, Firdaus Hanif empat tahun lalu akibat lemas ketika sedang memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis.
Menurut Farah atau nama sebenarnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, 46, berkata dia terkesan dengan pemergian arwah suaminya namun semangat yang dia dapat daripada anak-anaknya dan keluarga menjadikan dia lebih kuat.
“Tipulah kalau saya kata saya tak penat atau sedih, tapi Alhamdulillah semangat dari anak-anak dan keluarga itu menjadikan tunjak buat saya terus hidup kedepan dan tidak pandang ke belakang.
“Anak-anak pun semua memahami. Sekarang ini watak saya di rumah telah berubah menjadi watak ayah manakala anak sulung kami mengambil watak ibu.
“Dengan cara begitu saya rasa lebih mudah untuk anak-anak fahami dan secara tak langsung kami semua dapat ‘naik’ satu anak tangga watak,” ujarnya.
Farah yang ditemui di tayangan perdana filem La Luna juga berkata dia bersyukur mempunyai ibu mertua seperti Fauziah Nawi kerana bukan sahaja melayani dia seperti anak kandung malahan sentiasa mendoakan arwah suaminya itu.
“Arwah sangat untung sebab ada ibu yang tak henti-henti mendoakan dia dan tidak pernah tinggal bacaan yassin setiap hari buat arwah.
“Bagi saya meninggal sebelum ibu itu adalah sebuah rahmat kerana doa ibu itu sungguh bermakna dan Insya-Allah diterima oleh Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Farah yang juga menantu kepada pelakon senior, Datuk Fauziah Nawi itu tidak pernah terfikir untuk berkahwin atau mencari pengganti kerana baginya ruang di dalam hati sentiasa buat arwah suaminya.
“Memang saya tak pernah fikir pun untuk kahwin, saya selalu sayang dan rindu pada arwah sahaja dan fokus utama saya pada masa kini untuk membesarkan anak-anak sahaja.
“Nasib baik juga sekarang zaman moden, bila rindu kita boleh tengok balik video dan gambar lama dan sedikit sebanyak terubatlah rindu itu,” tambahnya lagi.
Gementar bawa sisi kelakar dalam La Luna
Farah yang tidak asing dengan filem-filem yang sarat dengan maksud tersirat dan ‘deep’ ini luah rasa gementar melakonkan watak yang kelakar dan tidak serius.
Jika sebelum ini Farah membintangi filem seperti Roh, Tombiruo dan Suatu Ketika yang sememangnya jauh sekali dengan elemen lawak maka, wataknya sebagai Fnah yang penuh dengan sisi jenaka itu sudah semestinya beri satu pengalaman baharu.
“Kalau sebelum ini semua filem saya agak berat dari segi watak tapi kali ini saya mengambil cabaran untuk ambil watak yang membawakan nilai jenaka itu.
“Bagi saya watak ini berat sebab penonton anggapnya komedi dan jika penonton salah memahami dan tafsir, maka salahlah kami.
“Pengarah ada kata dia tak mahu lawak-lawak yang berunsur soft porn jadi saya dan Namron cuba untuk memberi elemen komedi itu sebagai seorang pelakon dan bukan pelawak,” ujarnya.
Menurut Farah juga, filem ini adalah usaha dalam mengangkat topik taboo yang jarang masyarakat kita ulas apatah lagi ditayangkan di layar perak.
“Saya faham plot filem ini memang ada topik taboo yang dibincangkan namun bagi saya cuba lihat dari sudut positif.
“Jika tidak dibincangkan dari sekarang bila lagi? Saya pun tidak nafikan sikap malu itu sudah menjadi adat kita tetapi keterbukaan untuk memahami itu juga penting,” katanya.
Filem La Luna menceritakan tentang perubahan hidup dan perkembangan zaman yang berlaku dalam kalangan masyarakat sesebuah kampung.
Ia akan mula ditayangkan pada 9 Nov ini di pawagam seluruh negara.

