Dalam buku karya Charles Berlit’z berjudul ‘World of Strange Phenomena Omnibus‘ ada merekodkan sebuah catatan lama seorang pengembara di hemisfera Barat. Catatan tersebut mendakwa wujudnya sejenis pokok yang mampu menarik sekumpulan awan dan menukarkannya menjadi hujan.
Malangnya, dakwaan tersebut tidak mempunyai bukti yang kukuh dan dianggap sebagai cerita dongeng. Tapi, menjelang awal abad ke-19 ada satu penemuan yang boleh dikaitkan dengan catatan tersebut apabila sebuah pokok yang boleh menghasilkan titisan air telah ditemui di benua Amerika Selatan iaitu di negara Brazil.
Kira-kira 50 tahun kemudian, satu lagi penemuan sama didokumentasikan di negara Peru. Kajian saintis melaporkan, daun-daun pokok hujan di Peru ini sebenarnya terkondensasi daripada lembapan secara berbalik dan mengeluarkan air berkenaan dalam bentuk titisan hujan.
Legenda pokok hujan juga dilihat sebagai detik kembalinya nasib yang baik di mana ia dianggap sebagai air hujan atau lembapan segera yang dihasilkan oleh pokok.

Lantaran itu, para saintis mengemukakan teori yang mungkin dapat menjelaskan tentang pokok hujan ini. Kebanyakan tumbuhan dalam satu proses dikenali sebagai gutasi (pembentukan titis-titis air pada tumbuhan, daripada lembapan udara) akan naik ke permukaan melalui akarnya. Kemudian, ia terbebas ke udara dalam bentuk gas.
Apabila udara lembap menjadi tepu, air yang terkandung dalam tumbuhan akan berlebihan lalu mengeluarkan titisan air melalui liang daun pokok dalam kuantiti yang banyak.
Sejak itu, ramai pengkaji mengakui memang benar wujud sesetengah pokok boleh mengeluarkan air seakan-akan hujan. Ia berlaku secara semula jadi dalam satu proses yang dipanggil ‘transpirasi’. Pada proses ini, ia merujuk kepada air daripada tumbuhan yang diserap dalam tanah meruap hingga bertukar menjadi gas.
Semua jenis tumbuhan akan melakukan proses fotosintesis bagi membuat makanan. Berikutan itu, sejenis sel di bahagian daun dipanggil stomata akan mula terbuka dan menyedut gas karbon dioksida. Selepas itu, secara tidak langsung air yang terkandung dalam tumbuhan akan mula meruap dan mengeluarkan titisan air. Bagi proses ini, ia tidak mengikut musim tertentu tetapi akan sentiasa berulang-ulang selagi tumbuhan itu tidak mati.
Bagaimanapun, titisan air yang terbentuk seakan hujan hanyalah sebanyak 10 peratus sahaja daripada jumlah air di awan. Ini kerana, kebanyakan air hujan yang terhasil adalah 90 peratus daripada air tasik, laut dan lain-lain sumber air.
Ada banyak jenis tumbuhan boleh melakukan proses ini. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu tumbuhan berakar tunjang dan tumbuhan berakar serabut. Sebagai contoh, pokok Ramin Melawis, Delima Hutan, Kandis, Durian Paya, Membuluh, Pulai dan Sena yang dikategorikan sebagai tumbuhan berakar tunjang yang mengalami proses ini manakala bagi tumbuhan berakar serabut pula seperti pokok Pandan, Halia, Keladi, Paku Pakis, Palma, Nibong dan banyak lagi.
Selain itu, faktor kawasan lembap juga memainkan peranan penting kepada proses ini. Maksudnya, tumbuhan yang mengalami proses transpirasi amat sesuai hidup di kawasan yang mempunyai suhu lembap bagi membekalkan ruang-ruang udara yang banyak pada sel tumbuhan untuk bernafas.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

