BANGLO milik penyanyi Shila Amzah yang terletak di Hulu Langat akhirnya telah dikosongkan ahli keluarganya yang sebelum ini menetap di kediaman itu.
Menurut Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 33, menganggap konflik keluarganya yang mendapat perhatian orang ramai akhirnya selesai.
“Saya anggap (konflik ini) sudah selesai. Daripada segi keluarga, otak saya sudah selesai.
“Bab keluarga ini tak payah tanya saya. Yang melaluinya sahaja tahu.
“Sebab kita pun kadang-kadang orang sedarah tak anggap kita sama. dah ini rezeki kita, kena belajar ambil konsep reda,” ujarnya menerusi siaran langsung (live) TikTok.
Pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu melayani ragam adik kandungnya, Amir Syafiq Amzah kerana hanya akan mengeruhkan lagi keadaan sahaja.
“Kalian tak payah beri perhatian pada dia lagi. Kalau dia nak meratap ke, meratip ke, biarkan sahaja.
“Dia sejenis orang yang tak mengaku salah. Tak tahu diri sendiri memang suka meratip. Jadi, jangan bagi dia perhatian, kalau tidak dia akan makin meratip.
“Makin dilayan makin naik lemak dia nanti. Biarlah dia cari duit (sendiri) betul-betul,” tambahnya.
Terdahulu, konflik keluarga Shila Amzah timbul selepas adik bongsunya, Syada Amzah mendakwa bakal dihalau keluar kerana rumah banglo milik kakaknya itu bakal dijual selain sedang mencari rumah sewa.
Shila bagaimanapun menafikan dakwaan ingin menghalau. Jelas Shila, dia hanya mahu memberi kediaman baharu yang lebih selesa buat ibunya, Fauziah Sarman.
Tidak terhenti disitu, Syafiq turut mendedahkan pelbagai perkara termasuk mendakwa Shila seorang yang gilakan harta sedangkan dan ingin menjual banglo itu kerana mempunyai nilai pasaran yang tinggi.
Turut timbul dakwaan mengatakan Shila anak derhaka kerana membelakangkan ibu sendiri hanya kerana ingin menjual rumah banglo miliknya itu.
Namun menurut Shila, rumah banglo itu meninggalkan banyak kenangan buruk yang tidak mahu diingati termasuk selepas bapa mereka, ND Lala berkahwin dengan seorang wanita muda dan tidak langsung mencampuri krisis adik-beradik tersebut.

