KEDIAMAN bertingkat haram yang pernah didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat, bakal dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang selepas didapati dibina secara tidak sah.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat berkata, struktur berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini didirikan sebahagian besarnya di atas tanah milik individu yang diperuntukkan bagi tujuan rumah kediaman, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.
Menurutnya, beberapa struktur lain turut dibina secara haram di lot berkenaan dan kawasan bersebelahan yang merupakan rizab sungai serta pernah didiami penduduk etnik Rohingya.
“PDT Hulu Langat telah mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kepada pemilik struktur terbabit pada tahun 2017, 2020, 2021 dan terkini pada 13 Mac 2025 mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
“Selain itu, operasi perobohan bersepadu turut dilaksanakan pada 2017 membabitkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
PDT Hulu Langat berkata, MPKj juga telah mengeluarkan notis dan tawaran kompaun pada 2016, 2017, 2019 dan 2021 kerana pembinaan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, LUAS membuka kertas siasatan pada tahun ini di bawah Enakmen LUAS 1999 terhadap pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kebenaran.
Jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor bersama PDRM turut menjalankan Ops Kutip pada 28 Februari lalu dan menahan 42 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“PDT Hulu Langat bersama semua agensi penguatkuasaan daerah sentiasa komited melaksanakan tindakan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Berhubung bangunan kediaman bertingkat yang dimaksudkan, tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

