TERKILAN dengan tawaran harga yang diberikan kepadanya, vokalis kunpulan Scan iaitu Azan mendedahkan tidak pernah menyesal apabila terpaksa menolak untuk membuat persembahan kerana menganggap nilai tersebut tidak setimpal dengan usaha mereka.
Azan atau nama penuhnya Noorhazan Rashid,51, akui sangat sedih dengan sikap segelintir penganjur yang meletakkan harga begitu rendah untuk kumpulannya yang dianggotai empat ahli.
Dedah Azan, kumpulan Scan pernah menerima tawaran untuk menjayakan sebuah persembahan selama satu jam dengan harga RM500.
Menyifatkan jumlah tersebut tidak masuk akal malah ia hanya akan ‘membunuh’ pasaran harga penyanyi hari ini sekiranya dia menerima tawaran berkenaan.
“Di mana letaknya harga seni kami? Kami dah banyak kali dapat tawaran persembahan dengan harga RM500 untuk satu jam.
“Penganjur kata mereka tak ada bajet jadi mereka letakkan harga RM500 untuk kami berempat. Kalau bahagi empat orang, berapa saja yang kami akan dapat?
“Alasan tak ada bajet sepatutnya tak boleh diguna pakai. Pendapat saya, jika penganjur tawarkan kami untuk buat persembahan, kami pasti mereka sebenarnya ada bajet.
“Sudahlah tawarkan harga RM500 tetapi penginapan, pengangkutan, makan dan duit minyak pula kami tanggung sendiri. Memang sangat tak berbaloi,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis memperkenalkan bakat baharu naungan Guzzbuzz Productions di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Justeru Azan membuat keputusan untuk menolak saja tawaran tersebut biarpun ada sesetengah pihak mengatakan mereka menolak rezeki yang diberikan kepadanya.
“Harga sudahlah tak masuk akal. Kami tak ada anak dan isteri ke nak diberi makan? Sebab itu saya tolak saja dengan harga macam tu.
“Saya tak kisah jika ada yang nak labelkan saya artis sombong atau tolak rezeki. Tapi agak-agaklah nak bagi kita harga tu… kalau boleh biar setimpal.
“Saya bukan ‘demand’ dan kami sedar diri bukannya artis yang bernama besar tapi sekurang-kurangnya hargai kami yang sudah lama berada dalam industri.
“Sudah tidak terkira berapa kali saya tolak tawaran persembahan. Semuanya bagi harga yang sangat rendah. Ada yang kata harga kawan-kawan. Janganlah begitu, bila bekerja, kami akan kerja sepenuh komitmen,” ujarnya.
Bagaimanapun, tidak pernah mengkritik mana-mana penyanyi lain yang sanggup untuk menerima bayaran tersebut.
Terpulang kepada hak masing-masing untuk menerima atau sebaliknya.
“Saya tak nafikan ada juga penyanyi lain yang akan terima harga tersebut sebab mereka sangat memerlukan duit.
“Mereka pun kadangkala terpaksa tutup mata sebab kalau tolak, mereka nak makan apa? Kita tak tahu kesusahan hidup orang lain.
“Terpulang kepada mereka untuk terima atau pun tidak. Tapi saya yakin penganjur akan terus meletakkan harga rendah kepada penyanyi seperti kami kerana mereka beranggapan itulah ‘nilai’ kami sebagai penggiat seni.
“Apa-apa pun itu hak masing-masing. Saya tak bolehlah nak halang,” jelasnya.
Kerjasama dengan pemuzik Singapura
Dalam perkembangan lain, Azan kini tampil dengan dua single baharu berjudul Kasih dan Selamat Hari Ulang Tahun hasil kolaborasi bersama pemuzik dari Singapura iaitu Bobb Ghazali.
“Saya bertemu dengan Bobb dan ada serahkan dua demo lagu kepadanya. Pada awalnya niat saya sekadar nak dia dengar saja tetapi ia bertukar kepada susunan lagu yang sudah lengkap pada keesokan harinya.
“Semuanya berjalan dengan cepat dan Bobb seorang yang sangat berbakat walaupun kami baharu saja bertemu. Tak salah untuk kami cuba bekerjasama,” jelasnya.
“Bobb ada enam tahun pengalaman dalam industri muzik Singapura. Saya yakin dia juga boleh mengembangkan bakat sebagai penerbit dan penulis lagu untuk penyanyi Malaysia yang lain,” katanya.
Selain Azan, Bobb yang memiliki syarikat rakaman Guzzbuzz Productions turut memperkenalkan empat penyanyi baharu di bawah naungannya iaitu Akid Aly, General Ling, Z-Loco dan Ize Suliman.

membunuh

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

