Seleweng dana Armada: Syed Saddiq dipenjara 7 tahun, didenda RM10 juta, 2 sebatan

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Mahkamah juga mengenakan denda sebanyak RM10 juta selain hukuman sebatan sebanyak dua kali ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, Syed Saddiq diarahkan agar menjalani hukuman penjara selama empat tahun lagi.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi kesalahan bersubahat pecah amanah wang Armada berjumlah RM1 juta, Azhar memerintahkan Syed Saddiq dipenjara tiga tahun dan satu sebatan manakala bagi tuduhan salah guna wang RM120,000 pula, beliau diperintahkan dihukum penjara dua tahun dan juga satu sebatan.

Bagi satu tuduhan pertama pengubahan wang haram pula, Syed Saddiq juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta dan tambahan dua tahun penjara jika gagal bayar denda. 

Sementara itu, bagi tuduhan kedua pengubahan wang haram, dia perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan didenda RM5 juta serta tambahan dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Azhar bagaimanapun memerintahkan supaya kedua-dua hukuman penjara bagi kesalahan pengubahan wang haram terbabit, supaya berjalan secara serentak.

Beliau turut membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda serta sebatan sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Terdahulu Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq dalam rayuannya memohon agar anak guamnya sekadar dijatuhkan hukuman dalam bentuk penjara dan denda sahaja.

Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan jasa-jasa Syed Saddiq ketika berkhidmat selaku Menteri Belia dan Sukan, serta Ahli Parlimen Muar.

“Beliau selaku Menteri KBS telah membawa nama Malaysia ke peringkat antabangsa dalam bidang e-Sport, serta telah mengetuai pindaan perlembagaan yang bersejarah iaitu Undi-18 serta menaikkan elaun pelajar praktikal kerajaan daripada RM300 kepada RM900.

“Selaku Ahli Parlimen Muar, beliau juga telah melancarkan usaha mendapatkan dana bagi menyumbang komputer riba dan tablet kepada ribuan pelajar yang memerlukan.

“Beliau juga akur dan muhasabah dengan keputusan mahkamah pada hari ini selain juga menyesal. Bagaimanapun, beliau tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada pertuduhan yang dihadapinya,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin ketika mengemukakan hujahannya memohon Syed Saddiq dihukum penjara di antara setahun dan empat tahun bagi setiap tuduhan, denda RM5 juta bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram, RM2 juta bagi kes pecah amanah dan maksimum RM500,000 bagi kesalahan salah guna harta.

“Tertuduh wajib dikenakan sebatan kerana berdasarkan prinsip kes terdahulu, mahkamah mengenakan hukuman berkenaan bagi pertuduhan yang sama.

“Justeru itu, kami mohon hukuman penjara dan sebatan bagi keempat-empat tuduhan berjalan secara berasingan,” katanya.

Bagi kes ini, pihak pembelaan telah memanggil empat orang saksi termasuk Syed Saddiq sendiri, manakala pihak pendakwaan telah memanggil seramai 29 saksi bagi memberikan keterangan.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Baca artikel berkaitan: Syed Saddiq bersalah tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, ubah wang haram

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This