Tak sempat derma hati, Suzan reda pemergian Tia – “Saya tak sangka arwah pergi secepat ini”

Dari Penulis

SEMALAM rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kematian bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia, 53, yang disahkan menghidap penyakit kanser hati tahap empat.

Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria menghembuskan nafas terakhir di sisi Suzan ketika sedang menerima rawatan doktor di Hospital Shah Alam, jam 9.17 malam.

Memetik laporan Berita Harian, isterinya, Suzan Ahmad, 48, berkata usaha untuk menubuhkan tabung bantuan Tia Jinbara bagi mencari dana berjumlah RM250,000 baru dibuat bagi membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan di Hospital Medanta, New Delhi, India

Namun, takdir Allah mendahului segala-galanya. Menurut Suzan, dia reda atas pemergian arwah, biarpun tidak menjangka terlalu cepat arwah menutup mata.

“Saya tak sangka arwah pergi secepat ini. Namun, saya reda, mungkin inilah jalan terbaik buatnya daripada menanggung kesakitan.

“Takdir Allah tiada siapa dapat menduga. Pada siangnya, keadaan kesihatan arwah masih stabil, namun doktor mendapati arwah mengalami pendarahan dalaman.

“Ketika doktor sedang memberikan rawatan, ketika itulah arwah menghembuskan nafas terakhir. Saya memang berada di sisi arwah,” katanya.

Dalam pada itu, Suzan memberitahu dia juga sanggup berkorban mendermakan hatinya buat arwah suami demi kasih, sayang dan cinta.

Meskipun berdepan risiko tinggi, Suzan bersedia kehilangan nyawa, asalkan suaminya dapat terus hidup.

Jelas Suzan, berdasarkan beberapa kriteria menerusi pembacaan, dia layak mendermakan hati kerana memiliki darah yang sama iaitu A+ dan keadaan kesihatannya juga baik.

“Jika itu (derma hati) dapat bantu selamatkan nyawa Tia, saya sanggup lakukan apa sahaja demi pastikan suami kembali sihat.

“Saya tidak boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Saya tak nak hanya melihat suami ‘pergi’ tanpa berusaha.

“Jika ditakdirkan nyawa saya tidak panjang selepas pembedahan pemindahan hati, saya reda dan bersedia kerana anak-anak pun sudah besar,” ujarnya.

Suzan turut berkata, arwah kelihatan bersemangat untuk melawan penyakit, arwah menyatakan masih belum bersedia untuk ‘pergi’.

“Arwah memang bersemangat nak sihat sebab nak tengok anak-anak terima skrol. Walaupun hanya bapa tiri, tapi arwah adalah bapa yang penyayang.

“Beliau menyayangi tiga anak saya menerusi perkahwinan terdahulu seperti darah daging sendiri.

“Anak-anak membesar dengannya sejak kecil sehinggalah dewasa. Arwah juga mengajar anak-anak mengaji.

“Arwah selalu cakap kepada anak-anak yang dia ajar mengaji supaya mereka dapat mengaji untuknya suatu hari nanti.

“Beliau sangat titik beratkan solat dan pendidikan, selain memang mendahulukan keluarga dalam segala hal,” jelas Suzan.

Selain itu, isteri kepada pelantun lagu ‘Farhana’ ini sanggup ketepikan rasa malu untuk menubuhkan tabung bantuan Tia Jinbara bagi mencari dana RM250,000 bagi membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan di India.

“Saya buang malu demi suami. Saya memang memerlukan bantuan segera bagi menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin.

“Sebelum buat keputusan ini, saya terlebih dahulu berbincang dengan doktor penyelaras iaitu Dr Mohd Zaqrul Razmal. Dr Mohd Zaqrul beritahu hospital di Malaysia tiada kemudahan untuk pembedahan pemindahan hati dan dan mencadangkannya dilakukan di India.

“Hospital yang dicadangkan ini pakar dalam melakukan pembedahan pemindahan hati dan ada banyak sejarah kejayaan. Jadi, Dr Mohd Zaqrul cadangkan agar kutipan dana dilakukan segera,” katanya.

Tambah Suzan, tabung bantuan Tia Jinbara sudah dibuka sejak kelmarin.

“Saya terima kira-kira RM3,000 sejak tabung dibuka. Terima kasih kepada pemberi sumbangan, namun apakan daya, hasrat tak kesampaian,” katanya.

Terdahulu, arwah dimasukkan ke Hospital Shah Alam, Rabu lalu selepas mengadu sakit perut. Selepas menjalani pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan terakhir, CT Scan, doktor mengesahkan Tia menghidap kanser hati.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Jalan Penghulu Abu Bakar, Klang selepas selesai prosedur hospital, tengah malam semalam.

Kemudiannya, jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Kota Raja, Klang untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja sebelum Zohor, hari ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This