Misteri angka di sebalik peradaban kuno dan tradisi

Dari Penulis

SELALU ada misteri, pertanyaan, magis dan juga makna yang tersembunyi di sebalik angka-angka. Mengapa? Misalnya, angka 13 menimbulkan penyakit triskaidekaphobia (takut pada angka 13) kepada banyak orang.

Mengapa kita sering menyebut ‘1,001 masalah’ untuk banyak persoalan? Mengapa kita mengatakan ‘kekayaan untuk 7 keturunan’ bagi menggambarkan harta yang melimpah. Apa erti angka maskulin dan feminin, apa keistimewaan angka 5, mengapa pemain bola sepak berjumlah 11 orang, misteri apa di sebalik ‘keajaiban’ angka 1 yang membawa pemahaman manusia pada Tuhan, dan sebagainya.

Annemarie Schimmel, pakar dalam bidang kajian agama dan peradaban dunia, cuba menguak misteri rahsia angka-angka itu dalam bukunya The Mystery of Numbers.

Dengan bahan-bahan kajian kuno, rangkaian ayat-ayat suci, telahannya yang luas dan mendalam, Schimmel telah membongkar berbagai-bagai rahsia sejarah angka-angka dalam pelbagai peradaban kuno dan tradisi agama Islam, Yahudi dan Kristian.

Di samping itu, Schimmel turut memasukkan tradisi-tradisi India, China dan serba sedikit tradisi Maya. Schimmel juga menjelaskan secara terperinci simbolisme angka-angka orang-orang Amerika praColumbus, yang mengembangkan sistem-sistem astronomi, atau mengkaji angka-angka dalam peradaban Indian Amerika atau suku-suku Afrika.

Annemarie Schimmel dan bukunya, The Mystery of Numbers.

Memang bidang numerologi dan daya magis angka-angka telah menarik perhatian manusia selama ribuan tahun. Matahari dan bulan, sebagai tanda-tanda dalam ‘buku agung’ alam semesta yang berfungsi mengukur kehidupan manusia ini, selalu menjadikan manusia berasa bahawa angka-angka adalah sesuatu yang bersifat khusus.

Angka-angka itu bukan hanya mengelilingi dan menentukan ruang dan waktu dalam rumusan-rumusan abstrak, melainkan juga sebahagian dari sebuah sistem hubungan-hubungan misterius dengan bintang-bintang dan berbagai-bagai lagi fenomena alam lainnya.

Generasi terdahulu selalu memandang fenomena-fenomena ini sebagai berkaitan dengan, atau mempresentasikan roh-roh, dewa-dewa dan setan-setan. Mengetahui angka dan kekuatannya memungkinkan kita mampu menggunakan kekuatan itu untuk mendapatkan bantuan dari roh-roh, menggunakan ilmu sihir, atau membuat doa-doa menjadi lebih berkesan dengan mengulangi ’mantera-mantera’ dalam jumlah tertentu.

Pengetahuan tentang angka-angka juga tercermin dalam cerita-cerita rakyat dan kesusasteraan tinggi bahkan dalam muzik yang dianggap memanifestasikan harmoni kehidupan.

Begitu tercipta angka-angka membuktikan ‘diri mereka’ sebagai organisme yang hidup. Dengan daya dan segala keajaiban mereka sendiri, mereka menyebar ke berbagai-bagai sudut peradaban manusia tanpa mengenal batas geografi, suku, ras, atau budaya – kecuali ‘diri mereka’ sendiri.

Epistemologi itu yang kemudian meyakinkan banyak pengkaji numerologi, juga ahli fizik bahawa angka-angka secara hakikat tidak lain adalah kemestian hukum Tuhan, sunahtullah, sebagaimana alam semesta raya yang tidak terbatas ini.

Dari sudut itulah, kajian Schimmel ini menarik dan meyakinkan sejak zaman kuno, peradaban manusia terus-menerus diperkaya sepanjang sejarah secara ‘tulus’. Kerana itu, dalam wilayah karya cipta, orang-orang sekarang terhutang budi  pada Phythagoras (lahir abad keenam SM), misalnya, yang menghasilkan karya tak ternilai dan tak terbatas waktu.

Dalam buku ini, Schimmel antara lain mengungkap berbagai-bagai warisan penemuan Phythagoras dan dilanjutkan kaum Phythagorean. “Puncak pemikiran Phythagoras adalah idea tentang ‘keteraturan’ iaitu keteraturan muzikal, matematik, kosmos dan terakhir, etika dan sosial,” tulis Schimmel.

Keteraturan menciptakan harmoni. Dan harmoni jika diterjemahkan melalui angka-angka, tercipta. Justeru kerana bilangan selalu terbatas kemampuannya hanya pada ‘genap’ dan ‘ganjil’. Genap dan ganjil itulah sunahtullah hukum mutlak Tuhan.

Di sinilah, makna falsafah sebenarnya atas misteri angka-angka yang terbatas tetapi sekali gus mengandungi ‘ketidakterhinggaan’, di luar jangkauan akal-akal fikiran manusia.

Di bawah bab ‘The number of the primordial being‘ dalam buku ini, Schimmel menguak misteri angka ‘1’ melalui mata batin keagamaan. Angka satu disebutnya sebagai simbol ideal dari Tuhan kerana Tuhan adalah roh yang dengan sendirinya tidak mempunyai sifat-sifat material. Juga tidak punya lawan. Satu ‘Mutlak’ dan ‘Satu’ yang khas wujud-Nya.

Di samping huraian-huraian serius tentang misteri di sebalik angka-angka, sistem-sistemnya yang kompleks dan rumit, buku ini menjelaskan permainan angka-angka yang menakjubkan. Jumlahnya tidak terhingga, dan banyak di antaranya yang sangat lucu dan indah.

Misalnya, kita boleh membuat pohon angka dengan memperkalikan dan menambahkan angka-angka tertentu. Misalnya…

1 x 9 + 2 = 11;

12 x 9 + 3 = 111;

123 x 9 + 4 = 1111;

1234 x 9 + 5 = 11111… dan

seterusnya, sampai mencapai 123

456789 x 9 + 10 = 1111111111.

Ada pula permainan kotak magis yang diperoleh Maharaja Yu yang hidup pada zaman China kuno (2198 SM). Menurut cerita Kung Fu Tze, maharaja ini pernah membina empangan di Sungai Kuning untuk mencegah banjir. Ketika maharaja sedang duduk termenung di tepi sungai itu, muncullah kura-kura dewa bernama Hi, yang di punggungnya terdapat sebuah gambar.

Jika ditranskripkan dengan angka-angka moden, gambar itu menjelma menjadi kotak magis. Titik pusatnya adalah angka ‘5’, yang sangat dihormati pada zaman China kuno. Biarpun dibolak-balik seperti apa – garis horizontal, vertikal dan di sudutnya, selalu berjumlah ‘15’.

Dengan berbagai-bagai variasi kotak dan angka-angka, kita mampu menyusun permainan kotak magis yang inspirasinya diperoleh dari banyak tradisi bangsa-bangsa kuno.

Dari permainan-permainan angka seperti itulah, jangan hairan jika kemudian tercipta banyak sekali peranti canggih seperti komputer atau sistem digital yang kita kenal sekarang ini.

Lebih menarik lagi, buku yang tergolong unik ini juga menyajikan banyak ilustrasi, gambar kuno dan simbol-simbol yang bukan sahaja mengagumkan, tetapi juga mencabar untuk dikaji lebih mendalam. – Shaharom TM Sulaiman.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This