PERINGKAT keperluan manusia mengikut kajian ahli sosiologi, Abraham Maslow melalui teori keperluan Maslow membincangkan mengenai fitrah perkembangan manusia.
Hirarki keperluan manusia yang dibincangkan Maslow berbentuk segi tiga piramid; keperluan asas yang perlu dipenuhi berada pada tahap bawah (tapak) adalah aspek fisiologi yang menjadi keutamaan dalam hidup. Ia adalah tempat tinggal, makanan dan minuman.
Peringkat seterusnya adalah dari aspek keselamatan (perlindungan), keyakinan (reputasi) dan apabila memenuhi kesemua keperluan tersebut, kita akan melangkah ke peringkat yang terakhir iaitu keinginan peribadi (personel fulfillment).
Justeru, antara aspek yang berada dalam kelompok peribadi adalah rekreasi dan ia termasuklah melancong, bercuti dan keinginan peribadi yang lain. Ini bermakna setelah memenuhi keperluan asas mengikut Teori Maslow, kita akan melangkah pada peringkat terakhir tersebut.

Menjelas lebih lanjut mengenai teori keperluan Maslow ini, Dr. Norliza Aminudin berkata, keperluan asas perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya.
“Apabila kita mendapat pendapatan boleh guna (disposable income) setelah ditolak keperluan asas yang lain barulah kita akan agihkan pada personel fulfillment. Sama ada mahu membeli perhiasan, barang mainan untuk anak-anak, melancong dan sebagainya. Dalam konteks dana untuk melancong atau bercuti ia adalah perkara yang dirancang dan termasuk dalam personel fulfillment.
Sekiranya kita mengamalkan konsep menabung untuk tujuan itu ia adalah satu amalan yang positif. Bagaimanapun, seperti yang saya maklumkan tadi, perkara asas yang perlu kita salurkan sebelum memenuhi keperluan terakhir dalam hirarki keperluan Maslow ini, kita perlu selesaikan keperluan asasnya terlebih dahulu.
“Jangan pula kerana obses untuk melancong ke luar negara atas sebab-sebab tertentu, kita mengabaikan keperluan asas dalam hidup kita.
“Jika kita lihat pola pelancongan secara global, mereka yang banyak travel adalah individu daripada negara maju seperti Amerika, Eropah Barat dan Jepun. Ini kerana pendapatan boleh guna mereka adalah tinggi berbanding dengan rakyat dari negara sedang membangun atau negara dunia ketiga.
“Rakyat negara dunia ketiga masih berdepan dengan masalah untuk memenuhi keperluan asas mereka seperti tempat tinggal, makanan dan minuman. Malah aspek keselamatan diri juga menjadi halangan untuk mereka melancong,” jelas Dr. Norliza.

Trend Melancong Semakin Rancak
Ujar beliau lagi, dalam konteks negara ini, jika dilihat 30 tahun lalu, apabila ada individu di kampung yang ingin menunaikan umrah, pastinya ‘heboh satu kampung’. Ia seolah-olah berita yang cukup besar untuk dikongsikan di kalangan masyarakat.
Berbeza dengan situasi hari ini. Perpektif masyarakat terhadap mereka yang menunaikan umrah telah berubah.
Dengan status, gaya hidup dan pendapatan yang semakin meningkat, melakukan ibadat ke Tanah Suci (menunaikan umrah) sudah menjadi konsep ‘melancong sambil beribadah’.
“Negara kita sudah menuju pada sebuah negara membangun dan bakal menjadi negara maju. Jadi pendapatan boleh guna semakin meningkat. Keupayaan rakyat kita untuk memenuhi personel fulfillment semakin meningkat dan ia termasuklah melancong. Sama ada lokasi dalam mahupun luar negara.
“Salah satu faktor yang menjadikan trend melancong sebagai satu keperluan peribadi pada keadaan sekarang kerana adanya Terminal Penerbangan Tambang Murah (Low Cost Carrier Terminal, LCCT). Tawaran tambang atau tiket penerbangan pada kadar yang murah menjadi tarikan untuk melancong. Malah agensi pelancongan juga hebat dengan pelbagai pakej yang menarik. Adanya MATTA FAIR juga salah satu faktor kepada pola perubahan trend pelancongan negara.

“Jika kita perhatikan 15 tahun lalu, trend seperti hari ini masih belum wujud. Namun, pada alaf ini semuanya telah berubah. Pengaruh internet adalah salah satu daripadanya. Media sosial mampu menjadikan industri pelancongan semakin rancak dan bersaing hebat.
“Dengan hanya menekan papan kekunci kita mampu membuat tempahan hotel dan urusan lain di mana-mana lokasi. Begitu juga dengan Facebook (FB), Twitter, Instagram dan lain-lain menjadi medium atau jaringan yang memberi informasi mengenai siapa dan ke mana kita melancong. Secara tidak langsung, informasi ini memberi motivasi kepada orang lain untuk melancong.
“Motivasi adalah penting dan memainkan peranan besar dalam aspek ini. Seandainya individu itu ada banyak wang tetapi motivasi untuk melancong tidak ada, jadi mereka tidak akan ke mana-mana destinasi. Apabila ada motivasi ia secara tidak langsung mendorong kita untuk mencari maklumat, merancang dari aspek kewangan dan sebagainya.
“Dan apabila bercakap mengenai kewangan ini, ia termasuklah dengan cara menabung ataupun kita mempunyai bajet tahunan yang memang diperuntukkan untuk membawa ahli keluarga bercuti. Pendek kata soal wang bukan menjadi halangan untuk melancong dalam era ini kerana selain menabung, ada juga yang menggunakan pendapatan dividen ASB ataupun unit amanah,” jelas beliau lebih lanjut.

