PELAKON Ben Amir berkongsi pengalaman pertama kali berpuasa sambil melancong di Vietnam.
Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin,34, menyatakan ia adalah cabaran yang agak besar kerana setiap hari melibatkan lebih 12,000 langkah, ditambah pula dengan makanan jalanan yang sangat menggoda di sekitar tempat berkenaan.
Dia juga berhasrat untuk melakukannya lagi pada tahun hadapan sekiranya diberikan rezeki.
“Ini kali pertama saya melakukannya, jadi agak mencabar kerana setiap hari berjalan lebih dari 12,000 langkah dengan panas, haus dan makanan jalanan di sana memang menggoda.
“Tapi itu adalah ujiannya. Saya pasti akan buat lagi tahun depan, jika ada rezeki,” ujarnya
Foto tersebut dimuat naik bagi menjawab soalan yang ditanya oleh pengikutnya mengenai pengalamannya melancong di bulan Ramadan.
Ben turut menjelaskan soalan daripada pengikutnya tentang perkara pertama yang menarik perhatiannya untuk melancong ke sesebuah negara.
“Semuanya bergantung pada jenis pengalaman yang saya mahukan. Sebelum ini, ke Filipina saya nak meneroka kepulauan dan buat aktiviti pantai.
“Perjalanan kali ini pula lebih kepada gaya ‘backpacking’. Pengalaman pengembaraan baru dan menguji diri saya berpuasa di negara orang,” luahnya menerusi Instagram Story.
Pada 11 Mac lalu, Ben membuat hantaran video di Instagram yang sedang bercuti di luar negara dengan kapsyen selamat berpuasa dari Vietnam.
Untuk rekod, Ben merupakan finalis Hero Remaja 2012 dan memulakan karier lakonan pada 2013.

