Sesekali melancong ke luar negara adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang. Namun berbeza dengan seorang wanita, Fauziah Abdul Hamid, 59, yang mencipta rekod tersendiri apabila saban tahun melancong bermula sejak tahun 1992. Sehingga kini, beliau sudah menjelajah ke 35 buah negara. Wow!
Sebut saja mana-mana destinasi pelancongan popular di seluruh dunia, hampir semua sudah dikunjungi Fauziah. Antaranya adalah Turkiye, Jepun, Jerman, Sweden, Denmark, Belanda, Belgium, Luxembourg, Perancis, Switzerland, Itali, New Zealand, Bosnia Herzegovina, Tunisia, Arab Saudi, Korea dan Pakistan.
Fauziah beruntung kerana suami, Dr Mohd Sah Basir, 61, mempunyai minat sealiran yang memudahkan dirinya untuk merancang serta melaksanakan percutian sama ada berkumpulan atau berkeluarga bersama anak tunggal mereka, Saffura, 22.

Lazimnya, Fauziah lebih selesa bercuti bersama keluarga secara DIY (urus sendiri) tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan kerana selain lebih menjimatkan kos, mereka juga bebas merancang jadual perjalanan serta tempat yang hendak dikunjungi.
Bagi Fauziah, melancong adalah salah cara untuk ‘healing’ dan menghargai diri sendiri selepas penat bekerja. Pada masa sama ia adalah salah satu cara menikmati dan menghargai kebesaran Allah SWT yang mencipta alam dan pelbagai makhluk.
“Lain orang, lain caranya. Ini adalah cara saya untuk merehatkan diri serta minda, menghilangkan tekanan, ‘reward’ kepada diri sendiri dan menghayati setiap ciptaan Allah di muka bumi. Selebihnya adalah untuk kita mengenal dunia luar yang mempunyai cara hidup dan budaya yang berbeza.
“Apa yang pasti, setiap kali melancong ke luar negara dan menikmati keindahan alam semula jadi sama ada gunung-ganang, bukit-bukau, lautan atau tasik, akan timbul keinsafan dalam hati akan kekuasaan Allah yang mencipta semua itu. Ia secara tidak langsung mendekatkan lagi kita kepada Sang Pencipta.
“Saya juga memperoleh ilmu baharu kerana setiap destinasi yang dikunjungi, ia memberi pengalaman yang berbeza serta masih meninggalkan kesan di hati sehingga sekarang walaupun ada antaranya sudah lama saya kunjungi,” ujar Fauziah.

Antara yang berbekas di hati Fauziah adalah kunjungannya ke Bosnia-Herzegovina pada 2016. Selain menikmati keindahan buminya yang bergunung-ganang, kehijauan serta sungai yang jernih airnya dan rumah-rumah di atas bukit serta kawasan bercucuk tanam, mereka dapat menghayati kesan sejarah kegemilangan Kerajaan Uthmaniyah yang pernah menakluki wilayah Bosnia pada kurun ke-14.
“Antara yang kami kunjungi adalah Sarajevo. Di sebuah kawasan bandar lama yang dinamakan Old Town, terdapat banyak bangunan lama. Antara yang menarik perhatian adalah Masjid Ghazi Husrev-Beg yang dibina pada kurun ke-16. Namanya diambil sempena nama pemerintah pada ketika itu, Ghazi Husrev. Masjid ini mempunyai seni bina Islam yang sangat menarik dan mirip masjid di Istanbul.
“Satu lagi tempat bersejarah yang kami kunjungi adalah Latin Bridge yang menjadi pencetus Perang Dunia Pertama ekoran tindakan Serbia membunuh putera mahkota Kerajaan Austria-Hungary yang sebelum itu menggagalkan usaha Serbia menakluki Bosnia pada sekitar 1878 hingga 1918.
“Sebenarnya di sebalik peperangan yang berlaku pada 1992 hingga 1995, Bosnia adalah negara yang memiliki nilai pelancongan yang tinggi kerana selain tinggalan sejarah, negara itu memiliki banyak tempat menarik untuk dinikmati seperti di Jahorina yang memiliki pandangan cantik dengan hamparan salji,” kata Fauziah.
Fauziah yang bersara awal sebagai guru pada 2019, juga menikmati persaraannya itu dengan melancong ke 11 negara Eropah selama 30 hari, membabitkan perjalanan melalui pemanduan kereta sejauh 9500km.
“Saya sudah lama memendam impian untuk menjelajah ke bumi Eropah tapi kekangan tugas sebagai guru yang tidak memungkinkan saya mengambil cuti panjang menyebabkan ia tertangguh. Justeru, sebaik saja bersara dan kebetulan suami juga turut bersara serta Saffura pula selesai menduduki peperiksaan IGCSE, kami sepakat meraikannya dengan melancong ke Eropah.
“Eropah menjadi pilihan kerana selain mahu melihat tapak warisan UNESCO di sana, bangunan lama dengan ciri-ciri kolonial, kami juga mahu melihat sesuatu yang bersifat futuristik serta kemodenan mereka.
“Percutian kami kali ini adalah yang paling panjang tempohnya, bermula 24 Jun, 2019 dan berakhir 25 Julai, 2019 membabitkan 50 destinasi di Jerman, Sweden, Denmark, Belanda, Belgium, Luxembourg, Perancis, Switzerland, Liechtenstein, Itali dan Austria,” ujar Fauziah.

Bekas guru mata pelajaran Kimia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Pentadbiran dari Universiti Putera Malaysia ini turut terkesima melihat keindahan negara New Zealand malah sangat terpikat dengan budi bahasa, intergriti dan disiplin rakyat negara itu.
“Masyarakat di sana sangat mesra dan ramah malah tidak lokek untuk membantu kami. Pada satu peristiwa, sewaktu transit di Melbourne, Australia, suami saya kehilangan kamera ketika dalam perjalanan menggunakan pengangkutan awam tapi akhirnya ditemui dan dipulangkan. Ini menunjukkan betapa mereka sangat berintegriti.
“Dalam satu situasi lain, ketika dalam perjalanan ke satu lokasi, jalan sesak akibat kemalangan. Pihak polis yang mengawal lalu lintas telah menahan setiap kereta dan dengan mesra meminta berehat dahulu di tempat yang disediakan sementara pihak berkuasa mengendalikan kemalangan itu.”
Daripada hobi menjadi buku
Menceritakan bagaimana dia boleh jatuh cinta dengan hobi melancong, Fauziah berkata, ia bermula apabila kerap mengikut suaminya bertugas di luar negara.
“Suami dulu bekerja di unit antarabangsa Telekom sebelum beralih bidang sebagai pensyarah. Semasa di Telekom, suami kerap ditugaskan di luar negara yang mana sesekali saya akan menemaninya sambil bercuti. Itulah permulaannya, selepas itu melancong sudah menjadi acara wajib dalam kalendar tahunan kami.
“Semasa menjadi pensyarah pula, suami pernah bertugas di sebuah universiti di Riyadh, Arab Saudi pada 2013 hingga 2016. Saya ambil cuti tanpa gaji untuk mengikut suami. Sepanjang di sana, selain menjadi suri rumah, saya mengambil kesempatan mengunjungi tempat-tempat menarik dan berkongsi mengenainya melalui blog memoryziasaf.blogspot.com,” katanya.
Walaupun bukan sedikit wang dilabur namun Fauziah tidak pernah berkira demi memenuhi hobinya yang suka melancung. Bagi Fauziah, ia adalah salah satu cara dia menghargai dirinya terutama menikmati persaraannya.
Apa yang menarik, Fauziah mencatatkan setiap detik perjalanannya dalam sebuah diari. Sekembalinya dari Riyadh pada 2016, dia mula terfikir untuk membukukan catatannya itu supaya dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain. Maka, pada 2017 lahirlah buku pertama, ‘Travelog New Zealand: Syurga Di Wajah Queenstown’.

“Walaupun banyak negara saya kunjungi tapi saya memilih New Zealand sebagai buku pertama dihasilkan kerana tidak banyak buku pelancongan mengenai negara tersebut di pasaran ketika itu.
“Pada peringkat awal, kerana kurang pengalaman terutama dalam bidang pemasaran, buku ini gagal di pasaran. Saya mengalami kerugian. Saya masih ingat pada peringkat awal saya hanya berjaya menjual tiga buah sahaja, itu pun kepada tiga guru di sekolah saya mengajar.”
Kegagalan itu tidak melemahkan semangat Fauziah yang kemudian menghasilkan pula buku kedua, ‘Travelog Arab Saudi : Winter D’Riyadh’. Pada masa sama Fauziah mempelajari selok-belok pemasaran buku daripada mereka yang berpengalaman. Hasilnya, buku pertama dan kedua diulang cetak.
Lebih membanggakan buku ‘Travelog Arab Saudi:Winter D’Riyadh’ menerima Dana Penulis Perpustakaan Negara Malaysia pada 2021. Buku itu boleh dibaca di perpustakaan desa seluruh Malaysia.

Sehingga kini, Fauziah sudah menghasilkan enam buah buku travelog yang membabitkan tiga lagi percutiannya di Tunisia, Bosnia-Herzegovina, Eropah (1 dan 2). Buku Travelog Eropah 1 turut menerima Dana Penulis Perpustakaan Negara Malaysia pada 2023. Anugerah ini sebagai pengiktirafan karya Fauziah yang menjadi motivasi untuknya terus berkongsi pengalaman melalui buku.
Fauziah kini dalam proses menerbitkan buku travelog ketujuh berjudul ‘Autumn D’Hunza, Pakistan’ yang akan dipasarkan pada Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 yang akan berlangsung pada 24 Mei sehingga 2 Jun tahun ini, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – RODLY FADLY
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

