Ketika berusia 14 tahun, wanita bernama Jill Price ini mendapati sesuatu yang aneh pada dirinya apabila dia mampu mengimbau semula segala yang pernah berlaku dalam hidupnya secara terperinci.
Pada sesetengah orang, mampu mengingati semua perkara mungkin suatu anugerah. Tetapi tidak untuk Jill. Wanita berasal dari Southern California, Amerika Syarikat ini merasakan keistimewaannya itu adalah satu beban yang melelahkan dalam hidupnya.
Justeru, pada tahun 2000 ketika berusia 35 tahun, dia menulis sepucuk surat kepada James L. McGaugh, seorang pakar saraf di University of California Irvine.
Jill menulis, “Saya menghadapi masalah mengingat terlalu banyak. Setiap kali saya melihat sebuah tarikh di televisyen atau di mana-mana saja, secara automatik saya kembali ke hari itu dan ingat di mana saya berada, apa yang saya lakukan dan peristiwa bersejarah yang berlaku pada tarikh-tarikh tertentu.
“Semua itu seperti sebuah filem yang tidak pernah berhenti. Bahkan, ketika saya sedang bercakap dengan nada itu, saya merasakan skrin di kepala terpasang menayangkan kisah kenangan lalu. Ia berlaku tanpa henti dan ini membuatkan saya jadi gila!”.
Awalnya, McGaugh merasa skeptikal. Tapi, selepas melakukan ujian ke atas memori Jill, dia menyedari kes ini unik. Dibantu dua penyelidik lain dari universiti yang sama, Elizabeth Parker, pakar psikiatri dan neurologi serta Larry Cahill, seorang pakar perilaku, mereka kemudian mengkaji memori super milik Jill.

Ujian pertama yang dilakukan ialah memilih secara rawak tarikh antara tahun 1974 hingga 2000 seperti tercatat dalam diari milik Jill. Berpandukan buku harian itu, pengkaji bertanya, apakah yang berlaku pada 11 April 1993? Pantas Jill menjawab, hari itu dia memasak spageti.
Bagaimana pula dengan tarikh 28 Mac 1999? Jelasnya, dia sedang bersarapan dengan menu telur dadar. Masa itu juga dia mengalami sakit kepala. Ditanya lagi, bagaimana pula dengan tarikh 3 Oktober 1987? Beritahu Jill, “Tarikh itu merupakan hari Sabtu. Saya keluar apartmen dan berjalan ke pekan, sambil mengenakan selempang kerana siku saya sakit.”
Tanggal 28 Februari 1983? Jill menjelaskan, hari itu wiper atau pengelap cermin keretanya rosak. Duga pengkaji lagi, cuba terangkan pula kejadian yang berlaku pada 16 Ogos 1977? “Itu adalah tarikh kematian penyanyi pujaan ramai, Elvis Presley,” jawabnya.
Jill juga tidak lupa peristiwa pada 3 Ogos 1986, seorang pemuda menelefonnya. Masih teringat apa yang terjadi pada Murphy Brown pada 12 Disember 1988. Jadual dalam memorinya turut memahat tarikh 28 Mac 1992, makan tengah hari bersama ayahnya di Hotel Beverly Hills.
Bagi mengesahkan ketepatan jawapan itu, penyelidik menyemak semula buku harian yang ditulisnya ketika berusia 10 tahun hingga 34 tahun. Mengejutkan, jawapan yang diberikan itu semuanya benar dan tepat.
Lebih mengagumkan, dia bukan saja mengingati tarikh peristiwa dan data peribadi dalam hidupnya, tetapi turut mengetahui cuaca pada setiap tarikh tersebut.
“Kemampuan sampel mengingati masa lalunya begitu sempurna. Dia memiliki memori yang ‘bekerja’ tanpa henti, tidak terkawal dan automatik,” kata McGaugh.
Menurutnya, kes ini berbeza daripada pemilik bermemori super yang pernah dikajinya sebelum ini. Hampir semua kajian kesnya melibatkan individu yang menggunakan alat bantu mudah ingat atau mnemonik. Dengan menggunakan alat ini, individu mampu mengingati sejumlah besar maklumat penting.
Namun, apa yang membuatkan pasukan penyelidik betul-betul takjub, wanita ini tidak menggunakan peralatan itu bagi membantunya mengingati sesuatu. Memorinya itu umpama kalendar. Malah, penemuan kelebihan Jill ini merupakan yang pertama.

Keunikan luar biasa ini membuatkan pasukan itu tertarik untuk terus mengkaji wanita yang digelar ‘manusia kalendar’ ini. Dalam bahasa saintik, pengkaji memanggilnya dengan gelaran sindrom hyperthymestic, di mana penghidapnya mempunyai keupayaan luar biasa dalam mengingati peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Dan Jill adalah orang pertama yang dikesan dengan sindrom ini.
Penyelidik menghabiskan masa selama enam tahun bagi menyiapkan kajian mengenai Hyperthymestic untuk dimuatkan dalam jurnal Neeurocase. Bagaimanapun, kajian ini kurang dipersetujui oleh seorang profesor psikologi, K. Anders Ericsson dari University of State Florida.
Ericsson yakin, Jill mungkin tidak banyak berbeza dengan orang lain. Dia tidak memiliki sesuatu yang luar biasa. Apa yang ada cuma terlalu obses dengan memorinya sehingga terbawa-bawa ke kenangan lama. Individu selalunya mengingati tarikh atau perkara penting dalam hidup mereka. Ada kalanya, mereka yang berusaha untuk menghafalnya supaya tidak terlupa akan hal itu.
Walau bagaimanapun, apakah hafalan boleh memastikan seseorang itu ingat segala yang berlaku sepanjang hidupnya? Bagaimana pula tentang perkara yang sama berlaku pada waktu yang sama dengan melibatkan dua insiden yang berbeza? Apakah ini juga hafalan?
Ramai berpendapat hujah Ericson tidak wajar kerana obses tidak semestinya boleh mengimbau kenangan lampau hingga mampu meneroka kejadian-kejadian yang berlaku pada masa lalu dengan terperinci.
Sehingga tahun 2021, direkodkan hanya 62 orang yang mempunyai sindrom Hyperthymesia, iaitu mempunyai kelebihan memori luar biasa seperti Jill Price.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

