HIDUNG secara fisiologinya merupakan organ utama untuk mengenali bau, di samping berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem pernafasan. Dengan adanya pancaindera ini, ia membolehkan kita mengenal pasti pelbagai jenis bau dan aroma.

Setiap manusia mempunyai daya kemampuan berbeza dalam mencium bau. Ada yang kurang sensitif terhadap bau dan ada juga langsung tidak dapat menghidu sesuatu bau.

Namun, ada seorang manusia yang dikatakan sangat istimewa kerana hidungnya memiliki kelebihan mengenal pelbagai bau yang luar biasa berbanding manusia normal. Lelaki itu ialah George Aldrich dari Amerika Syarikat.

Bercakap soal deria bau, anjing dikenal pasti antara haiwan yang memiliki indera penciuman 100 kali ganda lebih baik daripada manusia. Keupayaan itu menyebabkan ia dapat menghidu dan menganalisis bau secara terperinci setiap saat berbanding manusia.

Untuk George Aldrich pula, lelaki ini turut mempunyai kemampuan serupa dalam hal-hal mengesan bau. Kebolehan Aldrich, dia mampu menggunakan keseluruhan 400 reseptor hidungnya setiap hari, di mana ia sesuatu yang jarang dapat dilakukan manusia lain.

George Aldrich, hidungnya mampu mengenal pasti lebih 10 ribu jenis bau.

Aldrich berupaya mencium apa sahaja termasuklah hal-hal yang menjijikkan. Malah, lelaki ini mampu mengesan lebih 10,000 jenis bau yang berbeza dengan hanya menggunakan hidungnya saja. Kerana kepakarannya itu, beliau digelar sebagai ‘Raja Penghidu’.

Aldrich berkata, beliau telah menyedari perkara itu sejak kecil lagi. Namun, kelebihannya itu hanya dapat dikesan lebih 40 tahun yang lalu sewaktu dia bertugas sebagai pemadam kebakaran di White Sands.

Menjelang usianya 18 tahun, lelaki ini memutuskan untuk mendaftar menjadi tukang bau secara sukarela. Dia kemudian layak diterima bertugas di NASA selepas kejayaannya melepasi ujian mengenal pasti tujuh bau primer.

Sejak itu, Aldrich bertugas di NASA berpangkalan di New Mexico. Di situ, dia menggunakan kemampuan super deria hdungnya untuk melindungi dan menjamin keselamatan para astronaut daripada bau-bauan yang berbahaya.

Sebelum berlepas ke angkasa, Aldrich akan melakukan ujian bau terlebih dahulu.
Hidung Aldrich sangat peka dengan bau.

Ujar Aldrich, ahli astronaut boleh jatuh sakit disebabkan bau menjengkelkan. Ini kerana, di stesen luar angkasa tidak ada udara. Mereka juga tidak boleh membuka tingkap untuk mendapatkan udara segar seperti mana biasa dilakukan oleh penduduk bumi.

Keadaan itu menyebabkan bau yang kurang menyenangkan akan terperangkap di dalam kapal angkasa dan astronaut selalunya tidak boleh melarikan diri melainkan terus menghidunya. Dan ini menjadi ancaman kepada mereka apatah lagi jika bau itu berasal daripada bahan berbahaya.

Justeru, Aldrich bersama pasukannya akan melakukan pemeriksaan dan ujian bau terhadap hampir semua barang-barang yang bakal dibawa oleh para astronaut ke angkasa lepas. Ini termasuk baju, kasut, ubat dan berus gigi, alat solek, pen, bahkan gambar orang tersayang. Jika beliau terhidu kehadiran toksik, barang-barang tersebut tidak akan dibenarkan untuk dibawa bersama ke dalam kapal angkasa.

NASA sebelum ini sering menggunakan anjing atau mesin untuk mengesan bau-bauan berbahaya. Bagaimanapun, mereka lebih memilih menggunakan pendekatan manusia melalui kelebihan Aldrich.

Sebab itu juga, untuk mengekalkan kepekaan hidung Aldrich, beliau perlu menjalani pemeriksaan rutin setiap empat bulan sekali. Sehingga kini, Aldrich telah bertugas lebih empat dekad bersama NASA.

Bagaimana lelaki ini mampu mengesan beribu-ribu bau sekali gus menentukan bahaya daripada bauan tersebut?

Sebenarnya, rongga hidung kita dipenuhi dengan tisu epitelium dan sel-sel olfaktori, yakni reseptor yang membuatkan kita mampu menghidu dan membezakan bau. Dan jika dikirakan, terdapat lebih kurang enam juta reseptor bau dimiliki oleh manusia, di mana setiap dari sel-sel itu mempunyai reseptor yang sangat sensitif terhadap molekul-molekul bau dalam udara persekitaran.

Proses kompleks ini melibatkan komunikasi di antara pancaindera kita dengan otak. Biasanya, apabila terdapat rangsangan di reseptor bau, isyarat akan dihantar ke olfactory bulb melalui saraf olfaktori. Selepas melalui peringkat tersebut, isyarat itu kemudiannya akan dihantar pula ke beberapa bahagian otak untuk dikenal pasti.

Pada tahun 1972, kajian menunjukkan manusia boleh mengenal pasti sebanyak 10,000 jenis bau. Namun, kajian terkini mendapati manusia sebenarnya mampu menganalisis lebih satu trilion jenis bau-bauan. 

Bagaimanapun, kepekaan hidung untuk membezakan bau turut bergantung pada kekuatan bau dan kehadiran mukus di dalam hidung. Bagi individu yang berpengalaman terdedah kepada pelbagai jenis bauan, mereka dapat menghidu dan mengenal pasti bau dengan lebih baik berbanding individu yang kurang terdedah terhadap bau. Ini kerana, otak telah menyimpan memori hingga dapat membezakan bau dengan lebih cepat dan tepat.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/