FAKTOR keselamatan menjadi punca mengapa Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang terpalit dengan video kontroversi tular, baru-baru ini belum memberi keterangan kepada pihak polis.
Perkara tersebut dimaklumkan Peguamnya, Faizal Rahman seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Menurut Faizal, Abdul Wahab akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh lelaki tersebut akan hadir ke balai polis.
“Banyak faktor yang kita ambil kira terutama dari segi keselamatan.
“Apa pun pihak kami dan polis akan memberi kerjasama,” katanya selepas menemani bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ketika ditanya sama ada Abdul Wahab ada menerima ancaman daripada mana-mana individu, Faizal juga enggan mengulas perkara terbabit.
Baca artikel lain: Agus dedahkan identiti ‘Mr H’ kepada polis
Namun begitu, peguam berkenaan hanya menyatakan anak guamnya itu berada dalam keadaan selamat.
Faizal yang juga peguam mewakili Mohammad Agus memaklumkan, satu laporan baharu dibuat pihaknya selepas mendapati terdapat kebocoran maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan laporan dibuat anak guamnya sebelum ini.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana laporan dibuat anak guamnya boleh terdedah meskipun kes terbabit disiasat Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Apa yang pasti laporan yang bocor itu bukan salinan daripada pihak kami.
“Kita tidak mahu buat spekulasi. Apa yang pasti dokumen itu daripada polis dan mereka perlu bertanggungjawab atas kebocoran itu,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

