POLIS menyiasat dakwaan gangguan seksual melibatkan kesalahan cabul dan melanggar kesopanan membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff terhadap bekas kakitangannya.
Dakwaan yang dikatakan berlaku di Bintulu, Sarawak itu dinyatakan dalam laporan Pembantu Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, di Balai Polis Kajang, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya mengesahkan kes itu berdasarkan laporan Abdul Wahab selaku pengadu.
“Berdasarkan laporan itu, Abdul Wahab mendakwa kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu.
“Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan,” katanya memetik laporan BH hari ini.
Razarudin berkata, Abdul Wahab tampil membuat laporan polis bagi melindungi diri selain menafikan terbabit dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Mohammad Agus.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kes ini dan akan memanggil beberapa individu untuk direkod keterangan.
Semalam, Abdul Wahab, bersama peguamnya Faizal Abd Rahman, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, bagi membuat laporan polis selain mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.
Abdul Wahab mengakui beliau tertekan dengan apa yang berlaku membabitkan dirinya dengan Mohammad Agus.
Sebelum itu, Razarudin dilaporkan berkata, kertas siasatan berkaitan dakwaan video fitnah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

