Telur padi atau dikenali juga sebagai telur seratus tahun, telur hitam, telur kulit dan telur abad (century egg), sangat popular di kalangan masyarakat Cina, sejak lebih dari 600 tahun lalu ketika era Dinasti Ming. Proses membuatnya telur padi kebiasaannya menggunakan telur itik yang akan diawet dalam campuran abu, kapur, garam, tanah liat dan serkam padi, kemudiannya diperam selama beberapa bulan. Tekstur telur putih akan bertukar warna coklat gelap dan bahagian kuning telur akan bertukar warna hijau gelap. Rasa dan baunya sangat kuat datang dari kuning telur.
Telur padi ini berasal dari China dan sangat istimewa, sering dihidangkan ketika majlis perkahwinan. Pengambilan telur padi secara kerap tidak digalakkan kerana ia mengandungi kolesterol yang tinggi. Kali ini kita buat sedikit kelainan, kita try telur padi masak lemak hijau. Jom kita masak!

TELUR PADI MASAK LEMAK HIJAU
BAHAN
4 biji telur padi (century egg) – cuci bersih
½ cawan santan pekat
1 sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil lada hitam
½ cm belacan
1 keping asam gelugur
5 tangkai daun selasih segar
Gula dan garam
BAHAN KISAR
10 tangkai cili hijau
10 tangkai cili padi hijau
6 ulas bawang merah
3 cm halia
1 cawan santan cair
CARA PENYEDIAAN
- Satukan bahan kisar, lada hitam dan asam gelugur ke dalam periuk, didihkan.
- Masukkan telur padi dan serbuk kunyit, kacau perlahan. Masukkan pula belacan dan santan pekat. Biar ia mendidih sebentar.
- Kemudian, perasakan dengan gula dan garam. Selepas siap masak taburkan daun selasih segar.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

