PENYANYI Shila Amzah tidak melihat penyingkiran dia dan adiknya iaitu Syahir Amzah menerusi program Famili Duo musim ketiga (FD3) pada malam Ahad sebagai kifarah susulan kemelut yang berlaku dalam keluarganya.
Memetik laporan mStar, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 33, berkata, orang ramai tidak berada ditempat mereka bagi membuat penilaian sebegitu dan menasihati supaya menjaga setiap perkataan yang dilontarkan kerana bimbang akan berbalik kepada diri sendiri.
“Kalau nak kata kifarah atau tidak, pada saya apa yang baik itu semuanya datang daripada Allah. Apa yang buruk itu daripada kita sendiri sebagai hamba-Nya.
“Sava tidak kisah netizen mahu cakap apa kerana mereka tidak berada ditempat kami. Kita kena tahu setiap keluarga itu berbeza.
“Netizen perlu didik hati sendiri untuk lebih menghormati kerana kita tidak tahu sekiranya perkara (buruk) itu berbalik kepada diri kita. Kena jaga mulut daripada percakapan sembarangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syahir turut berkongsi keluarga mereka terutama ibu bapanya masih memberi sokongan terhadap penglibatan mereka dalam program berkenaan.
Bahkan kata Syahir, dia juga menjadi orang tengah bagi menyampaikan mesej diterima daripada keluarga kepada kakaknya itu.
“Adik, mak dan ayah saya memang ada hubungi saya secara peribadi doakan yang terbaik sepanjang kami bertanding.
“Jadi saya sampaikan sahaja doa mereka kepada Shila. Saya hanya melunaskan tugas sebagai adik, katanya.
Terdahulu, konflik keluarga Shila menjadi perhatian ramai apabila adiknya Syada Amzah mendakwa dia bakal dihalau keluar daripada kediamannya kerana banglo milik penyanyi itu bakal dijual.
Shila menepis dakwaan dia menghalau ibu serta adik-beradiknya sebaliknya mahu menjual banglo tersebut kerana ingin membeli kediaman baharu yang lebih selesa buat ibu mereka, Fauziah Sarman.
Isu tersebut berlarutan apabila adik lelakinya Amir Syafiq mendedahkan penjualan rumah tersebut tidak dibincangkan dengan mereka terlebih dahulu.

