Umrah DIY, nak murah tapi tiada ilmu dan kefahaman ibadah umrah. Ini nasihat Dr Zulkifli Al Bakri

Dari Penulis

Fenomena Umrah DIY semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila ramai yang berkongsi pengalaman mengerjakan umrah sendiri tanpa melalui agensi pelancongan.

Selain bajet yang lebih murah, terdapat banyak faktor mengapa segelintir individu lebih gemar merancang ibadah umrah secara sendiri, namun hakikatnya perjalanan mengerjakan ibadah ini bukan sekadar mengurus dan mengatur perjalanan, sebaliknya ia turut melibatkan kefahaman mengerjakan umrah itu.

Tampil dengan tulis terbaharu, Umrah DIY, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyediakan panduan ibadah yang mudah dan selamat dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu persediaan sebelum ke Tanah Suci, ketika berada di Tanah Suci dan selepas pulang dari Tanah Suci.

“Saya akui fenomena umrah DIY dan perkongsian mereka yang berjaya di media sosial membuatkan ramai yang  berhajat menunaikan umrah sendiri tanpa melalui agensi. Namun mereka perlu tahu maklumat bagaimana ibadah umrah itu harus dipersembahkan, apabila tiada ilmu, banyak yang kurang tepat mengikut syariat.

“Malah ada yang menyangka apabila pergi sendiri, bajet yang diperlukan lebih murah. Namun apabila tiba di sana, kemungkinan bajet meningkat sehingga tiga kali ganda juga berlaku. Jadi buku Umrah DIY ini adalah satu jawapan untuk selesaikan isu-isu yang timbul,” jelasnya kepada media.

Malah ulas Dr Zulkifli, seseorang yang hendak ke Tanah Suci haruslah berniat dan memakai ihram dan tidak boleh berlengah usai sampai ke Mekah.

“Untuk ke Mekah, jika sudah berniat untuk mengerjakan umrah, seseorang itu mesti berihram dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Tidak boleh berlengah apabila sampai ke Mekah. Mesti selesaikan umrah dahulu dan selepas itu baru boleh buat perkara lain. Di sinilah bezanya penghormatan Mekah, ia bukan seperti tempat lain.

“Saya melihat sebahagian daripada kita keliru apabila masuk Mekah dan tidak tahu di mana harus berniat. Malah selepas sampai Mekah, dia masih tidak berniat umrah. Malah ada yang memakai ihram dan berniat, namun masuk ke Madinah dulu. Sebab itu kena faham dan ada ilmu untuk melakukan umrah DIY.

“Mereka tidak dapat memahami mana yang menjadi keutamaan. Kena faham juga apa yang haram dan dilarang sewaktu dalam ihram. Mungkin kita rasa kecil, namun ia perlu dihayati sebaiknya. Perkara seperti ini perlu diberi perhatian yang lebih.

“Bagi saya kebolehan kita mengurus dan mengatur perjalanan adalah satu perkara yang lain. Dan kefahaman mengerjakan haji dan umrah adalah satu perkara yang lain. Kedua-duanya wajib ada, barulah umrah sempurna,” ulasnya lagi.

Malah menurut perkongsian Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd, Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan, dia melihat sendiri bagaimana jemaah yang melakukan umrah secara DIY seringkali keliru akan rukun dan adab. Malah ada yang meluangkan masa membeli belah dan bersiar-siar di Mekah dahulu sewaktu sampai dan baru melaksanakan ibadah umrah selepas itu.

“Berdasarkan pengalaman sendiri, saya pernah bertemu mereka yang melakukan umrah DIY dan apabila berbual ada kalangan mereka yang tidak melaksanakan umrah lagi. Ada yang mahu berehat dahulu atau membeli belah dan kemudian baru buat umrah. Namun ia bersalahanan dengan adab masuk ke Mekah.

“Apabila masuk ke Mekah, shopping dan berehat bukan keutamaan sebaliknya laksanakan ibadah dahulu dan barulah buat perkara yang lain,” katanya ketika ditemui.

Dan atas dasar tanggungjawab, dia mahu mengisi kelompongan ini dengan menyediakan panduan dan mengumpulkan isu yang sering menjadi persoalan jemaah di dalam buku Umrah DIY.

“Kes begini bukan satu tetapi banyak berlaku dan atas sebab itu kami terbitkan buku Umrah DIY hasil tulisan Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri agar dapat menjadi panduan buat individu yang mahu melakukan umrah sendiri.

“Untuk menyempurnakan buku ini, kami kumpulkan persoalan yang sering ditanya tentang umrah dan kami isikan dengan jawapan paling sesuai oleh insan yang paling tepat untuk menjawabnya.

“Banyak isu timbul dengan Umrah DIY ialah di mana dia perlu berniat? Malah ada yang melakukan tawaf tanpa berwuduk. Banyak ruang lompong dalam umrah DIY, malah ada yang tidak tahu mereka perlu membayar dam atas kesalahan yang dilakukan,” jelasnya lagi.

Bagi mereka yang berminat untuk dapatkan buku panduan UMRAH DIY ini boleh segera tempah di link ini  https://yup.la/belisekarang


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Zulhijjah menyisih ego, membebas jiwa

Oleh : Pegawai Pejabat Zakat, Wakaf, Infaq (ZAWAIN) dan Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia...

More Articles Like This