Tular di media sosial apabila syarikat pengendali kapal layar, Dr G Cruise Langkawi menjadi mangsa fitnah individu tidak bertanggungjawab mendakwa kononnya syarikat ini menggunakan sijil halal yang tidak sah. Sentimen ini dilihat seolah-oleh sebagai cubaan menjatuhkan perniagaan orang Melayu di Langkawi.
Jelas pemilik dan juga berkhidmat sebagai Pakar Bedah, Abdul Gafoor bin Abdul Mubarak, sijil halal telah diperolehi bagi kafe yang beroperasi di kapal pelayaran miliknya pada Oktober 2023. Malah tegasnya, mereka turut tidak menyediakan minuman beralkohol.
“Ramai pelanggan kami yang sangat menitik beratkan isu halal ini dan ramai yang datang dengan keluarga anak kecil. Selalunya mereka mencari cruise yang tidak hidangkan alkohol.
“Malah hidangan yang disediakan diambil dari premis penyediaan makanan yang patuh Syariah. Cruise yang ditawarkan juga berbentuk Islamik di mana kami mengadakan bacaan doa sebelum memulakan pelayaran,” ulasnya kepada media.
Mengutamakan keselesaan pengunjung, Dr G Cruise Langkawi menawarkan pelayaran patuh syariah bagi memenuhi permintaan tetamu terutamanya mereka yang beragama Islam. Malah sijil halal yang diperolehi juga memberi impak positif kepada perniagaan.
Dr G Cruise mensasarkan kehadiran 2000 pelanggan pada tahun 2024 dengan menawarkan tiga pakej pelayaran iaitu Sunset Cruise, Day Cruise dan Santai serendah RM99.00 (dewasa) sehingga RM200.00 bagi mereka yang ingin merasai pengalaman meredah lautan di utara Selat Melaka dan di selatan Laut Andaman.

