LANTANG bersuara mengutuk kekejaman zionis di Palestin, kontrak penyanyi Kaka Azraff dengan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. ditamatkan.
Perkara tersebut terbukti apabila muncul salinan surat tular yang memaklumkan Warner Music Malaysia telah menamatkan kontrak Kaka, 34, yang berkuatkuasa 31 Disember ini.
Menerusi kontrak tersebut, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff tetap perlu memenuhi setiap aktiviti seni yang sudah diatur oleh pihak Warner walaupun selepas kontraknya ditamatkan.
Pelantun lagu ‘Bukan Hal Aku’ itu turut diberi amaran agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan serta komen yang boleh mencalarkan imej Warner Music Malaysia serta pihak berkaitan.
Bagaimanapun, sehingga hari ini Kaka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mempertahankan dirinya berhubung isu tersebut.
Difahamkan, perkara itu tercetus selepas penyanyi tersebut meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?
“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” kata Kaka.
Kesan dari tindakan itu, identiti pelantun lagu ‘Bukan Hal Aku’ itu telah diselidik oleh pihak Instagram, sekali gus mendedahkan maklumat peribadinya.
Dalam pada itu, pihak berkenaan dilihat menjalankan penyelidikan mengenai latar belakangnya serta mendedahkan gambar, butiran peribadi, syarikat dinaunginya iaitu Warner Music Malaysia sekali gus menyebut Kaka sebagai anti-Yahudi.
Berikutan pendedahan itu, ruangan komen di laman Instagram Kaka telah diserang penyokong tegar Israel.
Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram yang menyatakan sokongan terhadap Israel selain turut melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

