PENYANYI Adira Suhaimi memfailkan penceraian terhadap suaminya iaitu Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang pada 25 Oktober lalu.
Difahamkan itu ialah permohonan kedua dibuat oleh Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 32, terhadap Adnan atau Datuk Red selepas memfailkan penceraian terhadap suaminya pada 1 April 2019.
Namun, ia ditarik semula selepas Adira memberi peluang kepada suaminya dan cuba berbaik demi anak-anak.
Permohonan tersebut berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Hadir ke mahkamah bagi sebutan kedua kes berkenaan pada pagi Isnin, Adira tampil bersama kakaknya iaitu Emma Suhaimi sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JPK).
Adnan, 42, bagaimanapun hadir seorang diri dan gagal tampil bersama wakil bagi proses tersebut.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar. Pada sebutan kes itu, Abdul Hadi menegur tindakan Adnan yang dianggap sengaja melambat-lambatkan penubuhan jawatankuasa pendamai daripada dilakukan segera.
Oleh yang demikian, Abdul Hadi menangguhkan kes berkenaan pada 18 Disember ini bagi membolehkan Adnan melantik wakil bagi pihaknya.
Terdahulu, Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia satu tahun.
Adnan dikurniakan lima cahaya mata pada perkahwinan yang pertama. Adnan turut pernah bernikah pada usia 20 tahun, namun bercerai selepas lima tahun bersama dan hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata.
Sumber:mStar

