SELEPAS berjaya merangkul gelaran juara Famili Duo musim ketiga, pelawak Sharif dan Saiful Zero merancang untuk meluaskan bakat nyanyian mereka ke peringkat yang lebih serius.
Memetik laporan OhBulan!, pasangan dua beradik itu memaklumkan bahawa mereka akan memandang serius ke bidang nyanyian pula memandangkan ramai peminat yang suka melihat mereka bernyanyi dan membuat persembahan di atas pentas.
“Apa yang kami lihat beberapa minggu lepas semasa di Famili Duo, saya nampak kami boleh hiburkan orang dalam nyanyian. Jadi, mengapa tidak kalau kami ambil benda ini (nyanyian) secara serius.
“Perancangan saya selepas ini kena teruskan menyanyi sebab peminat ada yang suka kami menyanyi selain melawak. Mungkin selepas ini kami akan keluar dengan band. Kita tidak tahu,” katanya.
Ujar duo adik-beradik itu lagi, mereka sudah merakam sebuah lagu baharu hasil kerjasama Ajai sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi tetapi belum dilancarkan disebabkan video muzik yang belum sempat dilakukan kerana jadual kerja yang padat.
Apabila disoal mengenai kemenangan mereka pada final Famili Duo, Sharif dan Saiful akui mereka langsung tidak menjangkakan kemenangan tersebut kerana mempunyai saingan yang sangat sengit.
“Alhamdulillah, sebenarnya kami tak menjangka kemenangan kami pada malam ini (semalam). Sebab masa rehearsal, semua peserta memang all out. Pada malam final, kami cuma berharap nak berseronok dan dapat menghiburkan. Apa yang penting, apa yang kami persembahkan pada malam final sampai ke penonton. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan.
“Malam final Famili Duo menjadi satu sejarah bagi kami. Sebelum ini semua tengok kami di pentas lawak tapi kali ini, orang terima kami di pentas nyanyian. Kami sangat sebak, masa persembahan tadi penonton termasuk juri berdiri bagi standing ovation,” ujarnya.
Pelawak yang berasal dari Sabah itu berkongsi tidak terlintas langsung di hati mereka untuk mengalahkan penyanyi seperti Haqiem dan Adira malah tahap nyayian mereka jauh turut ketinggalan jika dibandingkan dengan bakat peserta lain.
“Tak ada istilah saya mengalahkan penyanyi seperti Haqiem dan Adira, sebab kita semua tahu mereka adalah penyanyi yang hebat. Tapi mungkin kami dapat dari segi menambat hati penonton di studio, pengundi.
“Kalau nak cakap kami mengalahkan mereka, jauh sekali. Tahap nyanyian kami dan mereka sangat berbeza. Niat nak bertanding tak ada, memang nak berhibur,” jelasnya.
Sharif dan Syaiful telah dinobat sebagai juara Famili Duo musim ketiga sekali gus berjaya membawa pulang trofi serta wang tunai sebanyak RM100,000.
Pasangan tersebut mendapat markah keseluruhan sebanyak 81 peratus sekali gus menewaskan duo Adira dan Emma Suhaimi yang memperoleh 60.6 peratus serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran sebanyak 58.3 peratus.

