PELAWAK Sharif Zero menegaskan tidak wujud isu merendahkan ego dalam kemelut yang melibatkan hubungannya dengan adik-beradik.
Menurut Sharif atau Sharif Kadir Doli Sharif,35, bagi mereka yang mengenalinya pasti tahu dia bukanlah seorang individu yang ego, apatah lagi apabila membabitkan soal keluarga.
“Bab keluarga ini, biarlah kami selesaikan sesama sendiri dulu.
“Kalau semuanya sudah okay nanti, saya panggil semua makan ramai-ramai di rumah,” katanya secara berseloroh ketika ditemui URTV pada Sidang Media Selangor Havoc Raya Fest di Setia City Convention Centre, Shah Alam.
Sharif berkata, dia berharap yang baik-baik daripada semua agar hubungan kekeluargaan mereka kembali pulih.
“Saya memang rindu nak berkumpul dengan mereka. Tapi bukanlah tak jumpa langsung.
“Baru-baru ini saya ada jumpa mak. Dengan adik-beradik pun ada jumpa, cuma dengan Melati dan Atu, kami tak sempat bertegur.
“Hari itu kami main bola sama-sama. Biasalah adik-beradik, bergaduh itu perkara biasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sharif mengakui dia bersedia memikul tanggungjawab sekiranya konflik yang berlaku dianggap berpunca daripadanya.
“Nantilah kita selesaikan semua. Kalau mereka rasa ini salah saya, ya memang salah saya.
“Mungkin sebab saya sudah terbongkarkan cerita pasal dia,” katanya secara jujur.
Sharif turut menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk memalukan adiknya dan reda dengan apa yang telah berlaku.
“Kalau itu buat dia puas hati, abang minta maaf. Dah ‘settle’ ya. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih.
“Dengar cakap netizen yang baik-baik saja. Harap kita boleh kembali seperti dulu.
“Kalau kau datang tempat saya, saya okay. Kalau kau nak saya datang tempat kau pun saya okay,” luahnya.
Pada masa sama, Sharif akui sedih dengan situasi yang berlaku, namun tidak menyangka ia menjadi sebesar ini.
“Saya memang tak jangka benda ini boleh jadi besar.
“Bagi saya sebenarnya okay saja. Ibu pun tahu perkara ini dan dia dah biasa sebab kami memang selalu bergaduh adik-beradik. Ibu faham situasi kami,” katanya.
Sharif turut menafikan dakwaan daripada pihak adiknya ada cubaan untuk bertemu namun ditolak.
“Iya ke ada usaha? Berapa kali saya ajak jumpa? Ada ke isu (perselisihan faham) itu sebab duit?.
“Saya ada minta adik datang jumpa saya untuk berbincang. Jangan pula cakap tak ada usaha.
“Kami memang ada berjumpa, termasuk bermain bola. Cuma macam biasalah, gaduh adik-beradik,” katanya.
Terdahulu, Sharif menerusi sebuah temu bual di podcast ada berkongsi kisah hidup Atu yang didakwa hampir terlebih dengan penyalahgunaan dadah akibat tersilap memilih kawan.
Susulan daripada pendedahan itu, hubungan mereka didakwa semakin renggang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

