IMPIAN Pas untuk melihat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi Perdana Menteri akan tercapai sekiranya kepimpinan parti itu berjaya memujuk dan mendapatkan sokongan UMNO sebelum pilihan raya akan datang.
Perkara itu menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil penting kerana tempoh Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan adalah lebih kurang empat tahun lagi pada 2027.
Isham yang sebelum ini pernah menggalas tugas sebagai Ketua Penerangan UMNO berpandangan, terdapat kemungkinan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah.
Katanya, PN juga berkemungkinan akan terus diasak dengan pelbagai tekanan politik ke atas pemimpin-pemimpin mereka seperti yang berlaku ketika ini.
“Pada ketika ini PN tidak cukup kerusi untuk bentuk kerajaan dan mereka memerlukan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah untuk mencukupkan kerusi.
“Walaupun UMNO hanya mempunyai 26 kerusi, apa-apa permutasi pun memerlukan 26 kerusi UMNO ini untuk menukar dan membentuk kerajaan.
“Jika mereka berjaya meyakinkan UMNO untuk bermuafakat semula, maka tidak mustahil Kerajaan Perpaduan ini akan tumbang dan digantikan dengan Kerajaan Muafakat dalam masa terdekat,” katanya menerusi perkongsian di media sosial beliau hari ini.
Baca juga: Kemenangan besar PAS bukti rakyat tolak Kerajaan Perpaduan – Hadi
Mengulas lanjut, Isham berkata, PN dan Pas telah berjaya meningkatkan sokongan Melayu daripada 58 peratus pada PRU15 kepada 70 peratus pada pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil baru-baru ini di Kemaman.
Menurut Isham, data tersebut menunjukkan suatu peningkatan yang sangat signifikan buat Pas dan PN dan sekiranya berterusan, gabungan parti itu berkemungkinan mampu merampas kesemua 26 kerusi UMNO dan tiga kerusi BN pada PRU16.
“Ia sekaligus akan meningkatkan jumlah kerusi Pas daripada 43 kerusi kini kepada 72 kerusi pada PRU16 dan menjadikan Pas parti yang terbesar dalam Parlimen di Malaysia.
“Secara tidak langsung, jumlah kerusi ini akan membolehkan Dr Sam (Ahmad Samsuri) menjadi Perdana Menteri ke-11 dalam tempoh 4 tahun lagi.
“Sebagai ahli UMNO, hasrat saya adalah apa-apa pun yang terjadi selepas ini akan memberi manfaat kepada UMNO dan perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

