TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa sokongan rakyat kepada UMNO akan terus merosot selagi parti itu ‘bersekongkol’ dengan DAP.
Dalam hantaran di media sosial, hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu lalu.
Beliau berkata, pengundi ketika ini sedar bahawa UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
Sebaliknya, Dr Mahathir mendakwa perjuangan UMNO ketika ini adalah untuk wang dan menyelamatkan kepemimpinan yang bersekongkol dengan jenayah.
“Lagi pun, pengundi UMNO bukan lagi yang ketahui jasa UMNO kepada negara. Mereka sudah tua dan tidak lagi aktif dalam arena politik.
“Pengundi muda dibesar setelah negara maju. Mereka berpendapat memanglah negara maju sehingga penuh dengan pencakar langit.
“Peranan UMNO memajukan negara dari kemiskinan dahulu sehingga separuh maju sekarang tidak disedari oleh mereka,” katanya dalam hantaran itu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mendakwa UMNO akan dihapuskan sama sekali pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Namun begitu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, UMNO boleh diselamatkan apabila berpisah dengan DAP dan kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.
Baca artikel lain: PRK Kemaman referendum penolakan rakyat terhadap Anwar – Takiyuddin
Jelas beliau, pemimpin ‘usang’ dalam UMNO perlu digugurkan dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula khususnya soal kemiskinan.
“Saya sedih kerana bapa yang menyelamat UMNO pada satu masa dahulu, anak yang musnahkan UMNO setelah mengambil alih kepimpinan.
“Suka atau tidak suka inilah kenyataan. Inilah mesej Kemaman,” katanya.
Sabtu lalu, Pas mengekalkan penguasaan di Parlimen Kemaman apabila calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada keseluruhan 249 peti undi bagi PRK itu.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan 27,778 undi.
Majoriti yang diperoleh calon Pas kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Kemaman sebelum ini diwakili BN menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal, sebelum bertukar tangan kepada Che Alias pada PRU14.
Pada PRU15, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman apabila menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
Che Alias memperoleh undi 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi. Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

