SEORANG lelaki bersama wanita ditahan di bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan 28 MPV polis sejauh 50 kilometer pada awal pagi tadi.
Video penuh klik link di bawah
https://t.me/infoutusantv/2140
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pukul 1.30 pagi, pihaknya yang sedang melakukan rondaan telah melihat sebuah kereta Perodua Bezza yang dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, anggotanya telah bertindak menahan kereta terbabit dan mengarahkan untuk berhenti di bahu jalan bagi pemeriksaan lanjut.
Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, pemandu Bezza bertindak memecut laju sehingga melanggar lampu siyarat di Jalan Utara, Petaling Jaya.
Tambahnya, beberapa buah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Serdang dan Subang Jaya telah ditugaskan untuk mengejar suspek.
“Kereta tersebut telah melarikan diri ke arah Sungai Way melalui Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Subang Jaya, Lebuhraya Persekutuan dan ke Shah Alam- Klang.
“Semasa berada di Bukit Raja Klang, pemandu Bezza teah bertindak melanggar beberapa kereta orang awam sebelum berpatah balik ke arah Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, sebelum tiba di kawasan Desa Mentari, dua daripada suspek berjaya meloloskan diri.
Sementara dua lagi suspek yang berada di dalam Bezza telah bertindak melanggar seorang anggota polis sehingga cedera.
Katanya, suspek meneruskan cubaan melarikan diri ke arah Cyberjaya melalui Lebuhraya Baru Pantai dan Damansara Puchong.
“Suspek berjaya ditahan selepas melanggar empat buah kereta peronda polis di Taman Tasik Cyberjaya.
“Pemeriksaan kereta menemui barangan seperti empat kad mesin teler automatik (ATM) pelbagai bank, sebuah kad mesra Petronas, sekeping kad pengenalan, sarung tangan berwarna hitam, sebuah topi keledar, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, gunting serta pisau,” ujarnya.
Mohamad Fakhrudin berkata, semakan mendapati suspek lelaki berusia 27 tahun mempunyai 11 rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah, dadah dan orang dikehendaki membabitkan kesalahan samun.
Sementara suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Kedua-dua suspek telah direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186/279/353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

