PELAKON Bell Ngasri, 43, akui tidak akan marah sekiranya ada pendatang baru dalam bidang seni yang menunjukkan sikap ‘diva’ atau tidak menegurnya.
Menurut Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata, mereka mungkin masih kurang arif tentang selok belok budaya kerja dalam industri dan perlu diberi peluang serta ruang untuk sesuaikan diri.
“Mereka (pelakon baharu) baru saja masuk dalam bidang lakonan ini, jadi mereka kadang-kadang tak tahu sedang berperangai seperti ‘diva’ atau ada buat perangai yang tak betul.
“Tak perlu marah pun sebenarnya. Kadang-kadang ada yang cakap artis baharu ini besar kepala, tapi mereka pun sebenarnya tak tahu apa yang dibuat itu salah.
Pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu turut berkongsi tidak kisah jika berdepan situasi sebegitu malah percaya pasti ada alasan tertentu juga apabila pendatang baharu bersikap sedemikian.
“Jadi, kalau ada pelakon baharu buat hal pada saya, saya faham sebab mereka baru lagi dalam bidang ini. Kecuali pelakon lama yang buat, memang kenalah.
“Budak-budak baru ini lebih mudah dapat perhatian orang. Mungkin orang nampak dia bagus atau terlalu handsome,” ujarnya.
Bell berkongsi perkara itu ketika ditemui URTV di sidang media Home of Kids oleh Astro di ibu kota, semalam bagi mempromosikan drama terbarunya berjudul Hikayat.

Drama yang berkisahkan tentang legenda Nujum Pak Belalang itu ada bakal ditayangkan mulai 11 Disember menerusi Astro Ceria pada jam 9 malam dan boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box, aplikasi Astro GO dan sooka.
Selain Bell, Hikayat turut dibintangi oleh Amy Mastura, Haziq, Datuk Jalaluddin Hassan, Usop Wilcha dan ramai lagi.

