PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi itu telah diserang penggodam sejak Sabtu lalu.
Sehubungan itu, PERKESO dalam kenyataan memaklumkan, pelan pengurusan krisis telah diaktifkan pada hari sama.
Menurut PERKESO, unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) juga telah digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.
Jelasnya, peringkat awal modus operandi serangan siber itu dikenal pasti bertujuan melumpuhkan segenap infra agensi itu yang digunakan bagi pengoperasian seharian.
Namun begitu, PERKESO memberi jaminan bahawa usaha terancang didalangi penggodam itu tidak akan merencatkan perkhidmatan kepada pencarum, majikan dan orang ramai.
“Unit ICT PERKESO kemudiannya berjaya mendapatkan semula kawalan sistem yang akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘pembunuhan watak’ terhadap imej PERKESO.
“Segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Notis FinTIP ancaman serangan penggodam pro-Israel pemberitahuan rutin, kata BNM
Mengulas mengenai kebocoran maklumat yang dipaparkan di laman sesawang gelap, PERKESO memberitahu, hasil penelitian awal mendapati kesahihan data yang dicuri penggodam itu amat diragui, tidak lengkap dan luput.
Katanya, hal itu kerana satu kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap agensi itu sejak ditubuhkan pada Oktober 1971.
“Serangan siber terhadap PERKESO bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku dengan kali terakhir pada September lalu dan berjaya dibendung.
“Tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara, justeru segala hasil forensik akan dikongsikan kepada pihak berkuasa demi mengelak episod sama berulang terhadap agensi lain,” katanya.
Terdahulu, sebuah forum awam dilaporkan menyiarkan maklumat pencarum PERKESO hasil penggodaman kumpulan penggodam pada 2 hingga 5 Disember lalu.
Pengguna forum BreachForums mendakwa lebih banyak maklumat pencarum PERKESO akan didedah dalam tempoh 72 jam.
Dengan pendedahan maklumat itu, difahamkan PERKESO menutup sementara kaedah pembayaran caruman secara dalam talian di laman webnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

