UMNO didakwa masih tersekat dalam pemikiran delusi menggambarkan seolah-olah parti itu kekal menjadi pilihan pengundi, kata bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap yang dihoskan bersama Shahril Hamdan, Khairy berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas kekalahan parti itu kepada Pas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menunjukkan bahawa UMNO masih dalam delusi.
Menurut Khairy, walaupun PRK Kemaman memperlihatkan tiada peningkatan sokongan terhadap Pas, namun sebenarnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kehilangan banyak undi.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid kononnya kemenangan Pas di Kemaman tiada kaitan dengan keadaan nasional berbeza semasa BN dan Pakatan Harapan memang di beberapa PRK sebelum ini.
“Generasi muda sekarang gunakan istilah delulu iaitu delusi. Dalam bahasa mudah, berkhayal atau bermimpi di siang hari.
“Ahmad Zahid menuduh Pas delulu, dia kata Pas delulu sebab jumlah undi Pas lebih kurang sama, tak ada peningkatan.
“Tetapi bagi saya yang agak delusi ialah tuan punya badan (Ahmad Zahid). Hari itu di (PRK) Pulai dan Pelangai dia kata ini petanda baik untuk PH-BN tetapi untuk Kemaman jadi ini cerita Kemaman sahaja,” katanya dalam podcast tersebut.
Sementara itu, Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, keputusan ramai pengundi terutama pengundi putih BN tidak keluar mengundi memberi isyarat tidak berpuas hati dengan parti yang disokong.
“Itu sahaja yang boleh explain (diterangkan) tentang perkara itu.
“(Pengundi) tak terinspirasi untuk keluar mengundi dan tak suka dengan apa yang berlaku. Itu jadi trend yang kita lihat di PRK Kemaman.
“Angkanya besar, sedikit mengejutkan kita tetapi kemenangan Pas itu tidak mengejutkan,” katanya.
Baca artikel lain: PRK Kemaman: Majoriti lebih besar petanda sokongan kuat penyokong BN kepada PN
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berpendapat kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Kemaman, 2 Disember lalu tidak boleh dianggap sebagai referendum rakyat kerana ia hanya satu ‘kepompong’ kecil.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu turut mempersoalkan bagaimana 141,000 pengundi di Kemaman boleh dianggap sebagai satu referendum rakyat.
Ahmad Zahid menjelaskan bahawa tiada peningkatan sokongan terhadap calon Pas pada PRK Kemaman.
Sebaliknya, beliau berkata, terdapat kekurangan pengundi putih BN khususnya UMNO membabitkan kira-kira 10,000 pengundi.
Pada 2 Disember lalu, calon PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.
Naib Presiden Pas tersebut memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

