Waspada perangkap tipu daya ‘menangguk di air keruh’

Dari Penulis

‘MENANGGUK di air keruh’. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) peribahasa Melayu ini bermaksud ‘mencari keuntungan dalam keadaan kacau’ atau ‘mengambil keuntungan daripada orang yang sedang menderita kesusahan’.

Memang bijak orang Melayu dahulu kala mencipta peribahasa sebagai perbandingan dengan kehidupan manusia. Apabila air keruh, ikan sukar nampak laluan dan hanya berpusing-pusing di satu kawasan. Dalam keadaan kacau inilah lebih senang menangguk atau menangkap ikan berkenaan.

Penulis tonjolkan peribahasa ini kerana menyedari memang wujud di kalangan orang tertentu di negara ini yang bersikap menangguk di air keruh. Malah warga asing pun didapati terlibat sama mengambil kesempatan daripada kesengsaraan orang lain untuk kepentingan dan keuntungan diri.

Yang sedang panas sekarang ialah kisah penderataan rakyat Palestin apabila Semenanjung Gaza dibantai oleh tentera rejim zionis Israel sehingga hampir punah ranah. Puluhan ribu nyawa melayang, tidak mengira dewasa atau kanak-kanak. Jumlah yang cedera pula tidak terhingga ramainya.

Rumah kediaman, infrastruktur dan kemudahan awam musnah. Hospital pun turut dibom. Tidak ada peri kemanusiaan tingkah laku zionis walau pun dalam peperangan tidak dibenarkan membunuh wanita dan kanak- kanak atau memusnahkan fasiliti kesihatan.

Dalam senario penderitaan ini, banyak usaha dijalankan untuk membantu kesengsaraan rakyat Palestin. Antaranya melalui bantuan derma yang dikutip oleh pertubuhan-pertubuhan tertentu bagi disalurkan kepada rakyat negara itu.

Malaysia penyokong kuat Palestin, majoriti rakyatnya sangat baik hati. Oleh itu dalam kes memberi bantuan ini ramai sedia menghulur sumbangan sehingga ada pertubuhan yang mampu mengutip hingga jutaan ringgit.

Tetapi sedih apabila membaca laporan ada di antara pertubuhan ini disiasat oleh pihak berkuasa susulan laporan wujud penyelewengan dana dikutip. Bukan semua disalurkan kepada yang patut menerima.

Selebihnya didakwa digunakan untuk tujuan lain yang tidak ada kaitan dengan matlamat asal kutipan. Serahkan sahaja perkara ini kepada pihak berkuasa menyiasat mencari kebenaran serta bertindak jika laporan benar.

BERITA BERKAITAN Kaka Azraff terharu sokongan rakyat Malaysia, akan terus bersolidariti untuk Palestin

Namun satu trend yang penulis perhatikan ialah perbuatan menangguk di air keruh yang dilakukkan oleh individu yang mungkin beroperasi secara berseorangan atau ada sindiket. Mereka aktif mengutip derma dengan menunggang nama Palestin dan penderitaan rakyatnya.

Kerana itu tidak hairan ramai individu seperti ini kelihatan bersidai di bank, pejabat pos, pasar raya, masjid atau tempat laluan ramai untuk meminta derma. Masing-masing memakai selempang dan memegang bendera kecil Palestin. Bersamanya ialah balang atau tong untuk orang ramai memasukkan derma.

Pada satu pagi minggu di sebuah pasar pagi di kawasan kediaman penulis di ibu kota, penulis melihat sendiri seorang lelaki keturunan Arab, tidak diketahui dari negara mana, membuka meja bersama seorang anak kecil. Di atas meja ada tong derma disediakan.

Dia mengibarkan bendera kepada pengunjung yang lalu lalang, mengharap mereka menghulur derma. Di belakangnya ada bendera lebih besar. Gayanya menunjukkan dia mengutip derma untuk Palestin. Ramai yang bermurah hati dilihat memasukkan duit ke dalam tong.

Tetapi siapa sebenarnya lelaki itu? Adakah benar-benar dia mengutip derma untuk Palestin? Yang dibawa bersama itu adakah anaknya sendiri sebagai umpan untuk meraih simpati daripada pengunjung pasar?

Keraguan terpahat di minda penulis kepada siapa hendak diserah derma berkenaan jika benar untuk tujuan derma? Yang nampak ia lebih kepada tujuan peribadi dengan menggunakan nama Palestin. Duit masuk poket sendiri.

Ini tidak banyak bezanya dengan orang perseorangan yang mengusung tong atau kotak duit ke sana sini di lokasi tumpuan ramai, bertampal dengan slogan ‘Derma untuk Palestin’. Siapa mereka ini dan ke mana hala tuju wang yang dikutip?

Ketika ini isu Palestin memang menyentuh hati rakyat Malaysia. Boleh dikatakan ramai ringan tangan menghulur derma atas rasa simpati. Cuma yang menjadi masalah kebaikan ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggung jawab demi memenuhi poket sendiri.

Sewaktu menghulur derma, orang ramai tidak banyak soal dan percaya derma mereka untuk rakyat Palestin. Sayang sekali jika kepercayaan yang mereka letakkan itu dikhianati oleh sikap berpura-pura pihak yang mengutip.

Justeru pihak berkuasa wajar memantau kegiatan mengutip derma oleh individu yang tidak diketahui asal usulnya. Tiba-tiba sahaja muncul apabila ada peluang memperoleh wang. Ambil tindakan sewajarnya jika mereka didapati hanya memperdaya orang ramai. Sepatutnya mengutip derma perlu ada surat kebenaran oleh jabatan tertentu.

Barangkali kebaikan hati rakyat Malaysia memberi derma sudah diketahui merentas sempadan. Kerana itu selain isu derma Palestin, kita juga disuakan dengan isu ramainya pengemis warga asing di negara ini. Ramai didapati mempunyai banyak simpanan hasil mengemis. Ini diketahui apabila pengemis ditahan dalam operasi.

Tidak lama dahulu terdapat laporan bagaimana warga asing yang didakwa dari Syria, hidup mewah di negara ini hasil mengemis. Mereka menjadi pengemis pada siang hari. Pada sebelah malam setelah selesai mengemis, mereka menginap di hotel mewah di Kuala Lumpur. Yang memberi sedekah pun tidak pernah tinggal di hotel mewah!

Untuk mengelak dikesan mereka mengubah lokasi dari semasa ke semasa, atau pulang ke negara asal untuk beberapa waktu bagi meredakan keadaan. Kemudian datang kembali, kali ini dengan membawa ahli keluarga atau rakan-rakan untuk sama-sama mengemis. Ini belum termasuk ramai lagi warga asing dari negara lain yang turut aktif mengemis.

Begitu liciknya tindak tanduk peminta derma dan sedekah. Rakyat Malaysia yang terkenal pemurah diperdaya, simpati dan kejujuran mereka diseleweng. Benar, tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Namun perlu sentiasa waspada perangkap tipu daya menangguk di air keruh.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

HAWANA 2026: ‘Jangan sampai buang pekerja’, Fahmi tegaskan bantu syarikat media

HARI Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bersiaran langsung di lapangan Butterworth, Pulau Pinang, minggu lalu dihadiri pengamal media pelbagai cabang...

More Articles Like This