MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mencabar pempengaruh pro Perikatan Nasional (PN) yang digelar YB Viral untuk ‘bertempur’ dalam program podcast ‘Yang Bakar Menteri’.
Cabaran itu telah disampaikan Rafizi menerusi satu surat jemputan kepada YB Viral yang dimuatnaik di platform media sosial beliau hari ini.
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, tujuan cabaran tersebut dilakukan adalah untuk menghentikan budaya pembohongan sewenang-wenangnya oleh pempengaruh pro PN di media sosial yang semakin berleluasa ketika ini.
Katanya, budaya menyebarkan pembodohan yang kini diperturunkan kepada rakyat biasa yang meletakkan diri mereka sebagai pempengaruh adalah satu ancaman besar kepada negara.
Rafizi juga kesal dengan tindakan pempengaruh PN yang memainkan pelbagai sentimen yang tidak memberikan gambaran serta perspektif sebenar sehingga memesongkan kefahaman rakyat terhadap sesuatu perkara.
“Saya selalu bertanya kepada ahli-ahli Parlimen PN tentang ukuran ekonomi yang mereka gunakan sebagai bukti kepada dakwaan mereka ekonomi telah merudum. Mereka tergagap-gagap dan tersipu-sipu seperti kerengga yang lari bertempiaran.
“Satu perkara yang tidak disedari ialah budaya menyebarkan pembohongan sewenang-wenangnya seperti ini sebenarnya mendedahkan ramai rakyat Malaysia kepada tindakan undang-undang.
“Sesiapa yang menyebarkan perkara fitnah sebegitu, boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan jika ada laporan polis dibuat. Mereka juga boleh disaman secara sivil,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Kekal portfolio dalam Kabinet, Rafizi teruskan perancangan Kementerian Ekonomi
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, warganet yang membuat komen kepada segala kandungan pempengaruh pro PN juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ahli Parlimen Pandan itu turut melabel warganet yang menyokong pempengaruh pro PN di media sosial sebagai walaun.
“Akhirnya, seperti lazimnya, ramai walaun-walaun yang terdedah mati katak dalam perjuangan sedangkan pimpinan mereka kaya-raya dengan kereta besar, pangkat dan pencen mereka.
“Budaya ini berbahaya dan ramai pempengaruh ini merasakan mereka boleh berselindung menggunakan nama samaran. Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani.
“Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya. Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab,” katanya.
Rafizi turut memberi syarat yang mana setiap individu yang mengutarakan soalan kepadanya tidak boleh berselindung di belakang identiti digital yang disalahgunakan untuk mencipta pembohongan.
Katanya, pihak tersebut juga perlu bersedia untuk disaman dan diambil tindakan undang-undang jika ada fitnah yang dibuat apabila berdepan dengan identiti sendiri.
“Eksperimen pertama adalah kepada seorang pempengaruh PN iaitu YB Viral. Pejabat saya telah menghantar surat dan dia juga boleh baca surat ini dengan terbuka.
“Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya, Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

